DAP akan ganti pemimpin veteran secara progresif, kata Loke


Ravin Palanisamy

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata lebih ramai ahli muda akan diberi peluang mewakili parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2022.

PERALIHAN menggantikan pemimpin veteran parti dengan yang lebih muda sedang dibuat dan ia akan dilakukan secara beransur-ansur, kata Anthony Loke.

Setiausaha agung DAP yang baru dilantik itu berkata mereka tidak akan dapat mengganti semua pemimpin warga emas dalam sekelip mata sambil menambah ia akan menjadi langkah progresif dan lebih ramai ahli muda akan diberi peluang mewakili parti.

“Pastinya nafas baharu dan pembaharuan kepimpinan parti akan berlaku dan sedang berlaku.

“Ia bukan kes di mana dalam satu pilihan raya anda mahu semua orang bersara. Itu tidak akan berlaku (di sini).

“Saya fikir DAP sentiasa membuat pembaharuan lebih semula jadi dan kami melakukan sesuatu secara progresif.

“Parti akan terus memberi ruang kepada pemimpin muda untuk memegang kepimpinan dan menjadi wakil parti sama ada di Parlimen dan DUN. Itu pasti akan berterusan tetapi peralihan dan persaraan dibuat secara progresif,” kata bekas menteri pengangkutan itu kepada The Malaysian Insight.

Bulan lalu pemimpin ikonik DAP Lim Kit Siang mengumumkan persaraannya daripada politik

Lim, 81, yang merupakan ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata beliau tidak akan bertanding sebarang jawatan jawatankuasa eksekutif pusat dan tidak akan mempertahankan atau bertanding dalam mana-mana pilihan raya lagi.

Loke berterima kasih kepada Lim kerana sentiasa mengorbankan dirinya bagi memastikan parti itu maju ke hadapan.

“Saya rasa satu contoh yang baik ialah selepas pilihan raya umum 2018 dan selepas kita membentuk kerajaan Persekutuan beliau (Lim) mengambil keputusan untuk tidak menjadi sebahagian daripada Kabinet supaya pemimpin muda seperti saya boleh berada dalam Kabinet.

“Jadi saya rasa parti harus berterima kasih kepadanya kerana sentiasa memikirkan generasi pemimpin parti akan datang,” kata Loke.

Ahli Parlimen semasa lain dalam DAP berusia 60 tahun ke atas ialah Fong Kui Lun (75); Tan Kok Wai, M. Kulasegaran, Pang Hok Liong (masing-masing 64); Chan Kon Yeow, Wong Tack, Wong Ling Biu (masing-masing 63); Lim Guan Eng, Charles Santiago (kedua-duanya 61); dan Ngeh Koo Ham (60).

DAP bukan ekstremis, akan beri peluang kepada kaum lain

Loke juga berkata DAP bukanlah parti ekstremis seperti yang dilabelkan oleh pesaing mereka.

Beliau berkata hanya kerana majoriti sokongan mereka datang daripada masyarakat bukan Islam, adalah tidak adil untuk dilabelkan sedemikian.

“DAP bukan parti esktremis. Ini dilabelkan oleh musuh politik kami sejak 50 tahun lalu. Kami sentiasa dilabel sebagai parti Cina ekstremis.

“Kami tidak. Kami bukan parti ekstremis tetapi kami adalah parti Malaysia,” katanya.
 
“Hakikatnya kebanyakan sokongan kami datangnya daripada masyarakat Cina dan India tetapi itu tidak bermakna kami hanya parti untuk orang Cina dan India.

“Kami adalah parti untuk semua rakyat Malaysia dan kami bercita-cita menjadi parti Malaysia,” kata ahli Parlimen Seremban itu.

Loke berkata parti itu sentiasa mengambil pendekatan sederhana dalam kebanyakan perkara dan mahu menggambarkan DAP sebagai parti Malaysia dengan memberi peluang kepada kaum lain untuk memimpin.

“Kita mesti memahami konteks masyarakat Malaysia dan kita mahu menonjolkan identiti Malaysia dalam pendekatan politik dan matlamat politik kita.

“Kami berharap dapat menonjolkan identiti Malaysia yang lebih baik dalam kedua-dua kepimpinan kami dan juga dalam senarai calon kami.

“Kami berharap pada masa akan datang kami akan mempunyai lebih ramai calon bukan Cina dalam barisan DAP dan juga calon Cina,” katanya.

Minggu lalu Loke berkata parti itu akan kehilangan sokongan orang ramai jika mengamalkan pendekatan radikal dan mengambil sikap ekstrem dalam politik.

“Jika satu hari nanti lebih ramai Melayu daripada Cina dalam DAP, biarlah ia berlaku, apa masalahnya?,” kata Loke dalam temubual baru-baru ini ketika menjawab soalan sama ada masyarakat Cina akan kecewa jika DAP menarik lebih ramai ahli Melayu. – 8 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen