Kerajaan campuran DAP-Umno


Izmil Amri

SLOGAN ‘Kita Boleh’ diluncurkan oleh Pakatan Harapan dalam konvensyen di Ipoh, bersekali dengan maskot baharunya; seekor kancil yang diberi nama Jaguh. Slogan terbabit kelihatan mirip benar dengan slogan yang mengusung Presiden Barack Obama dalam perlumbaan Presiden Amerika Syarikat. “Yes We Can,” kata Obama.

Apa yang boleh? Semua boleh. Menang boleh, kalah pun tentunya boleh.

Idea politik ‘semuanya boleh’ ini ditemukan dalam siri pembelajaran sains politik. Politik adalah seni segala mungkin, segala jadi. ‘The Art of the Possible’ bak kata orang kampung saya.

Konsep ‘art of the possible’ ini adalah idea bahawa politik itu adalah perihal pragmatik, dan bukan sangat soal idealisme, nilai dan pergulatan antara kebaikan dan kejahatan. Dalam soal ini politik bukan barang yang boleh dilukiskan sebagai pemandangan di tengah medan Kurukshetra, dalam hikayat Mahabharata.

Melalui sudut pandang ‘seni segala jadi’ ini, politik dilihat sebagai wasilah untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu dan melaksanakannya dalam dunia materi.

Idea segala mungkin segala jadi ini tentunya bukan benda baharu yang ditemukan dalam satu dua abad lampau. Namun yang paling kerap dikaitkan dengan negarawan Jerman abad ke-19, Otto von Bismarck, tokoh penyatuan semula tanah Jerman.

“Politics is the art of the possible, the attainable – the art of the next best,” kata Bismarck. Seni segala mungkin, untuk meraih apa yang boleh didapat.

Berbeza dengan beliau, ahli ekonomi Kenneth Galbraith memberi sudut pandang yang lebih negatif tentang pragmatisme politik. Bagi Galbraith, politik bukanlah seni segala mungkin. “Ia adalah soal memilih antara bencana dan apa yang tidak menepati selera”. Sudut pandang ini mungkin lebih tepat dalam konteks Malaysia pada hari ini.

Semua boleh ‘adjust’

Konsep ‘seni segala mungkin’ ini sering digunakan dalam kerangka positif, kerana ia sarat dengan nilai-nilai kebijaksanaan, dan keupayaan untuk menyusun kerja dalam sesebuah kerangka. Orang politik memang suka dengan benda ini. “Jangan risau, nanti kita adjust.” Dia kata. “Politik ni, tak ada apa yang mustahil.” Lalu pengundi pun bertepuk tangan.

Sepertimana Presiden Joe Biden dalam sidang medianya pertamanya pada awal 2021. Dalam memberi jawapan kepada soalan wartawan, Biden menyebut bahawa politik pilihan raya yang berjaya adalah seni segala mungkin. Dengan harapan sang wartawan merasa berkeyakinan dan menilai responnya dengan penuh rasa berharap. “Ya betul lah tu, nanti presiden kasi setel.” Barangkali demikian reaksi sang wartawan.

Segalanya mungkin. Tiada yang mustahil. Semuanya boleh berlaku. Masalahnya konsep ‘seni segala mungkin’ ini ditopang oleh suatu makhluk bernama ‘harapan’. Dan harapan juga sifatnya sangat ambigu. Dibunuh tak mati-mati, harapan hidup abadi, selain lahir kembar seiras dengan satu lagi makhluk bernama kekecewaan.

Ekoran daripada politik segalanya boleh inilah kita melihat bagaimana harapan rakyat Malaysia pada Mei 2018 hanya berkekalan selama 22 bulan.

Azmin Ali, panglima perang Anwar Ibrahim, ‘party loyalist’ yang dikira tidak akan pernah meninggalkan PKR, akhirnya berpaling tadah, menikam bekas bosnya dalam aksi tikam menikam dari depan dan belakang yang paling sengit dalam sejarah sejak Tuah dan Jebat berentap di balairung istana Melaka.

Muhyiddin Yassin dan Mahathir Mohamad, dua tokoh yang meninggalkan Umno untuk menyerang Umno dengan menubuhkan parti sendiri akhirnya berpisah jua, dengan Mahathir menubuhkan sebuah lagi parti.

Kemudian Muhyiddin boleh pula mendapat sokongan Umno untuk menjadi perdana menteri; tetapi selepas itu Umno menikamnya pula dan kini kedua-dua Umno dan Bersatu saling bertikam  lidah. Pun boleh.

P. Waytha Moorthy, yang ketika pentadbiran Pakatan Harapan diberikan tanggungjawab sebagai menteri di jabatan perdana menteri untuk menjaga hal ehwal perpaduan dan kesejahteraan sosial, akhirnya memberi sokongan kepada Barisan Nasional. Waytha sebelum ini menjadi modal BN ketika menyerang kerajaan PH, terutamanya dalam kes kematian Allahyarham Muhammad Adib.

Sekarang semuanya sudah terbalik. Segalanya boleh, tiada yang mustahil.

Kerajaan gabungan DAP-Umno

Dengan beberapa hari berbaki menuju penamaan calon PRU15, sudah ramai orang bertanya apakah ramalan tentang kesudahan selepas 19 November akan datang.

Saya secara jujur memberikan bacaan bahawa kelesuan pengundi akan menyebabkan peratus keluar mengundi yang rendah; mungkin bawah 70%. Ini akan memberi kelebihan kepada Umno-BN.

Namun Umno-BN akan berdepan pertembungan berbilang penjuru, bukan sahaja dengan calon-calon PH, tetapi juga PN, Warisan, Pejuang-GTA, Ayahanda Rani Kulup, Cleopatra, Siti Kasim dan sebagainya. Meriah!

Dek kerana kemeriahan itu, saya menjangkakan undi akan terpecah hancur berkecai di hampir semua kerusi di Semenanjung.

Oleh kerana itu, PH hanya akan menang kurang 60 kerusi, dengan DAP berhasil mendapatkan separuh daripada jumlah terbabit.

PKR dan Amanah, saya tidak mahu ulas. Nanti orang marah.

Secara asasnya, PRU ke-15 akan menyaksikan sebuah Parlimen tergantung, dengan parti-parti tidak mempunyai bilangan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Maka timbullah persoalan kemungkinan untuk pembentukan kerajaan campuran yang melibatkan Umno dan DAP. Jenuh dan leceh, ya. “Dok akang kekal lame,” tentunya.

Tapi ini kan seni segala mungkin, segala jadi. Ya, kita kan boleh! – 28 Oktober, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen