Syarikat yang mereka bentuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Naval Group bersetuju meneruskan rundingan dengan Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd berhubung harga kapal berkenaan.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan persetujuan itu dicapai hasil mesyuarat di Perancis melibatkan wakil kementerian, Pengarah International Directorate (DGA) Perancis Gaël Diaz De Tuesta, Kementerian Pertahanan Perancis dan Naval Group.
Selain itu, Naval Group yang merupakan syarikat dari Perancis itu turut komited bagi memastikan LCS siap sepenuhnya dalam masa ditetapkan kerajaan Malaysia serta menyokong penuh usaha meneruskan projek tersebut.
“Ini perkembangan signifikan dan positif serta berupaya memperkukuh lagi usaha semua pihak khususnya di negara ini bagi memastikan projek LCS dapat diteruskan semula dengan sebaik mungkin selari dengan syor beberapa pihak berkepentingan termasuk jemaah menteri, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).
“Fasa Mobilisasi juga berjalan lancar dan semua pihak berkaitan melaksanakan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin. Dengan perkembangan ini, dijangkakan semua rundingan akan dapat dimuktamadkan pada penghujung Disember ini,” menurut kenyataan itu.
Pada 2 Oktober lepas, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata fasa mobilisasi projek LCS selama enam bulan bermula Jun menunjukkan perkembangan positif dan berjalan lancar selari dengan syor oleh beberapa pihak berkepentingan.
Hishammuddin berkata hasil rundingan yang dibuat dengan 145 vendor tempatan dan 42 pengilang peralatan asli (OEM) luar negara, BNSSB selaku syarikat pembuatan kapal menerima akujanji terutamanya melibatkan peralatan serta sistem untuk menyokong BNSSB meneruskan projek LCS. – Bernama, 21 Oktober, 2022.
Komen