KKM, Mindef wujudkan rangka kerja optimumkan aset dan sumber, kata menteri


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM dan Mindef akan mewujudkan satu rangka kerja baharu untuk mengoptimumkan aset dan sumber dua kementerian berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2022.   

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mewujudkan satu rangka kerja baharu untuk melihat secara keseluruhan kerjasama yang boleh dicapai kedua-dua pihak supaya dapat mengoptimumkan aset dan sumber dua kementerian berkenaan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkara ini susulan kerjasama yang baik antara dua kementerian itu dalam menguruskan pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Contohnya di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan ada keperluan sumber manusia yang mungkin boleh ditampung oleh KKM.

“Mungkin ada peralatan atau jentera di kawasan pedalaman, yang ada pada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang boleh KKM atur kedudukan apabila diperlukan,” katanya pada sidang media selepas melawat HAT Tuanku Mizan bersama Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein hari ini.

Khairy berkata kerjasama antara KKM dengan Mindef yang wujud sebelum ini perlu diangkat ke peringkat lebih tinggi dengan misi yang jelas melalui rangka kerja baharu.

Sementara itu, beliau berkata KKM dan Mindef bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh dan bencana banjir pada akhir tahun ini.

Menurutnya beliau dan Hishammuddin diberikan taklimat kesiapsiagaan ATM dan KKM untuk membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya negara dilanda bencana banjir.

Khairy juga memaklumkan lawatan dua menteri itu pada hari ini adalah berikutan arahan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Mesyuarat Jemaah Menteri lepas agar kementerian-kementerian yang berkenaan melaksanakan kesiapsiagaan mantap untuk berdepan musim tengkujuh dan bencana banjir.

Selain itu Khairy juga berterima kasih kepada ATM kerana bertindak secara pantas dalam pembinaan hospital-hospital medan di beberapa negeri ketika pandemik Covid-19.

Justeru katanya KKM menyokong perolehan ATM dan Mindef untuk menambah peralatan dalam usaha memantapkan lagi kesiapsiagaan hospital-hospital medan di negara ini. – Bernama, 27 September, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen