Cadangan tubuh RCI siasat LCS dibawa ke Kabinet esok, kata Hishammuddin


Mohd Farhan Darwis

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein hari ini memberi jaminan kepada Dewan Negara untuk membawa cadangan tubuh suruhanjaya siasat skandal kapal tempur pesisir dalam mesyuarat kabinet esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2022.

MENTERI Pertahanan Hishammuddin Hussein akan membawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri esok cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan skandal projek enam kapal tempur pesisir (LCS).

Beliau memberi jaminan itu ketika menjawab perbahasan Dewan Negara mengenai isu berkenaan petang tadi.

“Saya beri jaminan selepas perbahasan kita hari ini saya akan bawa ke Kabinet (penubuhan RCI), walaupun bukan semua (setuju), ada (ahli dewan negara) yang tidak setuju tapi saya akan bawa ke Kabinet Rabu ini… saya akan lakukan,” katanya.

Hishammuddin hari ini dipanggil oleh sidang Dewan Negara untuk memberikan penjelasan berhubung skandal itu.

Yang diPertua Dewan Negara Rais Yatim hari ini bersetuju usul membabitkan skandal enam kapal LCS yang dibawa Senator Lim Hui Ying dibahaskan di Dewan Negara.

Beliau juga membenarkan 10 anggota Dewan Negara menyertai sesi perbahasan dengan setiap anggota diberikan tempoh 5 minit, sebelum Hishammuddin memberikan penjelasannya.

Dalam perbahasannya Hui Ying menyuarakan keperluan diwujudkan RCI agar siasatan terperinci dapat dijalankan.

“Dewan (perlu) bersetuju ada sebuah RCI ditubuhkan untuk buat siasatan penuh dan cari penyelesaian skandal LCS.  

“Hanya dengan suruhanjaya bebas dan profesional dengan mandat Agong barulah boleh dapat kebenaran seterusnya penyelesaian skandal LCS,” katanya.

Antara ahli Dewan Negara yang menyokong saranan penubuhan RCI adalah A. Kesavadas dan Razali Idris, serta Muhammad Zahid Md Arip.

Namun begitu, Mohamad Fatmi Che Salleh, dalam perbahasannya merasakan tiada keperluan penubuhan RCI disebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat dakwaan salah laku dan penyelwengan dan projek tersebut.

“Saya sokong untuk diambil tindakan keras kepada salah laku dan penyelewengan. SPRM masih siasat, belum selesai jadi saya tak nampak keperluan RCI.

“Biar SPRM siasat, tengok dulu macam mana, rekod SPRM menunjukkan ramai yang ditahan didakwa bersabit kes lain hasil tangkapan dan tindakan SPRM,” katanya.

Hishammuddin antara lain mengulangi kenyataannya sebelum ini yang menjelaskan Kabinet pada April telah memutuskan agar projek LCS diteruskan.

Selain itu, Kabinet juga katanya memberikan tempoh enam bulan pelan pemulihan projek tersebut, yang mana kini berada di fasa mobilisasi untuk memastikan ianya dapat terus berjalan.

“Dalam konteks ini Kabinet memutuskan pada April projek LCS mesti diteruskan, mengambil kira keputusan ini perancangan enam bulan ini ditetapkan dan sedang diambil tindakan.

“Memastikan fasa mobilisasi dilaksanakan sebaik mungkin bagi membolehkan Boustead mulakan rundingan OEM di Eropah dan vendor tempatan, serta bank, dalam masa fasa enam bulan bermula 20 Jun hingga 21 Disember,” kata Hishammuddin.

Katanya lagi, bagi memastikan ia tidak berulang, jawatankuasa tadbir urus khas kementerian pertahanan akan memantau proses mobilisasi tersebut dan kemudiannya membuat laporan berjadual kepada Kabinet.

“Melihat ke hadapan kita akan lakukan sekarang, kita sebenarnya tiada pilihan, beri ruang fasa mobilisasi,” kata bendahari Barisan Nasional (BN) itu lagi.

Beberapa pihak termasuk Pemuda Umno turut menggesa RCI diwujudkan bagi mencari noktah untuk menyelesaikan kemelut skandal tersebut, selepas ianya didedahkan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Selain itu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin juga menyarankan RCI ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM Hasan Karim bagaimanapun melihat penubuhan RCI hanya membuang masa, disebabkan ia tiada kuasa mendakwa.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu sebaliknya menegaskan pihak yang bertanggungjawab harus dihadapkan ke muka pengadilan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi merupakan menteri pertahanan pada tahun 2009 hingga 2013 di bawah pentadbiran BN yang diketuai Perdana Menteri Najib Razak ketika itu.

Ahmad Zahid bagaimanapun menafikan beliau terlibat dalam isu itu. – 16 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen