Perang Ukraine punca 4 juta kanak-kanak miskin, kata Unicef


Perang Russia-Ukraine menyebabkan empat juta kanak-kanak jatuh miskin di seluruh Eropah timur dan Asia Tengah. – Gambar EPA, 17 Oktober, 2022.

Pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan kejatuhan ekonomi yang terjadi menyebabkan empat juta kanak-kanak jatuh miskin di seluruh Eropah timur dan Asia Tengah, kata agensi kanak-kanak PBB semalam.

“Kanak-kanak menanggung beban paling berat daripada krisis ekonomi yang disebabkan oleh perang di Ukraine,” kata UNICEF.

Konflik dan peningkatan inflasi mendorong tambahan empat juta kanak-kanak di seluruh Eropah timur dan Asia Tengah jatuh miskin, peningkatan 19% sejak 2021”, katanya.

UNICEF membuat kesimpulannya daripada kajian data dari 22 negara.

Kanak-kanak Rusia dan Ukraine paling terjejas sejak serangan Moscow ke atas jirannya pada Februari.

“Rusia menyumbang hampir tiga perempat daripada jumlah peningkatan bilangan kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan akibat perang Ukraine dan krisis kos sara hidup di seluruh rantau ini dengan tambahan 2.8 juta kanak-kanak kini tinggal dalam isi rumah di bawah kemiskinan,” menurut kajian Unicef.

Tamparan kepada ekonomi Rusia daripada sekatan Barat digabungkan dengan populasi yang besar untuk menghasilkan kesan besar.

“Ukraine adalah rumah kepada setengah juta kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan, bahagian kedua terbesar,” tambah Unicef.

“Romania berada di belakang dengan 110,000 lagi kanak-kanak dalam kemiskinan.

“Kanak-kanak di seluruh rantau ini sedang hanyut dalam perang yang mengerikan ini,” kata pengarah serantau Unicef untuk Eropah dan Asia Tengah, Afshan Khan.

“Jika kita tidak menyokong kanak-kanak dan keluarga ini sekarang, peningkatan mendadak dalam kemiskinan kanak-kanak hampir pasti akan mengakibatkan kehilangan nyawa, kehilangan pembelajaran, dan kehilangan masa depan,” tambahnya.

Semakin miskin sesebuah keluarga semakin besar bahagian pendapatan yang perlu dibelanjakan untuk makanan dan bahan api, penjagaan kesihatan dan pendidikan anak-anak, jelas agensi itu.

Mereka juga lebih berisiko terhadap keganasan, eksploitasi dan penderaan.

Ini dibuktikan apabila 4,500 kanak-kanak meninggal dunia sebelum hari lahir pertama mereka dan 117,000 kanak-kanak tercicir dari sekolah pada tahun ini sahaja, kata Unicef. – AFP, 17 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen