54 negara miskin perlukan pelepasan hutang segera, kata PBB


Program Pembangunan PBB dalam laporan terbaharunya memberi amaran banyak negara membangun sedang berhadapan krisis hutang yang semakin mendalam dan "risiko ngeri jika tidak bertindak". – Gambar EPA, 11 Oktober, 2022.

KRISIS global yang melanda telah menyebabkan 54 negara memerlukan pelepasan hutang, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.

Dalam laporan baharu, Program Pembangunan PBB (UNDP) memberi amaran berpuluh-puluh negara membangun sedang berhadapan krisis hutang yang semakin mendalam dan “risiko ngeri jika tidak bertindak”.

UNDP berkata tanpa bantuan segera, sekurang-kurangnya 54 negara akan menyaksikan peningkatan tahap kemiskinan, dan “pelaburan yang sangat diperlukan dalam penyesuaian iklim dan mitigasi tidak akan berlaku”.

Ianya membimbangkan kerana negara yang terjejas adalah “antara yang paling terdedah kepada iklim di dunia”.

Laporan agensi itu, yang diterbitkan sebelum mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia, dan juga menteri kewangan G20 di Washington, menekankan keperluan untuk tindakan segera.

Tetapi di sebalik amaran berulang kali, “risiko semakin meningkat,” kata ketua UNDP Achim Steiner kepada pemberita di Geneva.

“Krisis itu semakin meruncing dan mengancam untuk merebak ke dalam krisis pembangunan yang berakar umbi merentasi berpuluh-puluh negara di seluruh dunia.”

Negara-negara miskin dan berhutang sedang menghadapi tekanan ekonomi yang bertumpu dan ramai yang mendapati adalah mustahil untuk membayar balik hutang mereka atau mengakses pembiayaan baharu. – AFP, 11 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen