G7, Nato mesti 'kekal bersatu' tentang perang Russia, kata Biden


Presiden AS Joe Biden meminta G7 dan negara anggota Nato kekal bersatu menentang perang Russia ke atas Ukraine. – Gambar EPA, 26 Jun, 2022.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Ahad memuji Canselor Jerman Olaf Scholz atas kepimpinannya susulan perang Russia ke atas Ukraine dan menggesa Barat untuk terus bersatu.

“Kita perlu kekal bersama,” kata Biden kepada Scholz pada satu mesyuarat menjelang sidang kemuncak G7 di Alps Jerman.

Presiden Russia Vladimir Putin berharap “Nato dan G7 akan berpecah,” kata Biden. “Tetapi kami tidak melakukannya dan kami tidak akan melakukannya.”

Biden bertemu tuan rumah Jerman di Istana Elmau yang mana G7 - Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan AS - mengadakan sidang kemuncak tiga hari yang didominasi oleh krisis di Ukraine.

Biden memuji kepimpinan Scholz sebagai pengerusi semasa G7 pada masa pergolakan di Eropah yang dicetuskan oleh perang Russia dan kejatuhan ekonomi global.

Seorang pegawai kanan AS berkata, Washington “melabur amat banyak” dalam hubungan dengan Jerman sejak Biden memegang jawatan hampir dua setengah tahun lalu.

Rundingan mereka pada Ahad adalah “peluang yang baik untuk mengesahkan hubungan yang mendalam dan berkekalan antara kedua-dua negara. Dari segi agenda mesyuarat, jangkakan Russia dan Ukraine akan berada di senarai teratas, termasuk penyelarasan rapat berterusan kami dalam bidang politik dan diplomatik,” kata pegawai itu. – AFP, 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen