CHINA dan Pakistan menyumbang barangan bantuan yang terdiri daripada makanan dan pakaian untuk diedarkan kepada 1,000 keluarga miskin di Afghanistan, kata Pemangku Timbalan Menteri Hal-Ehwal Pelarian kerajaan Sementara Afghanistan, Arsala Khan Haruti di Kabul, pada Rabu.
Beliau berterima kasih kepada China dan Pakistan ketika menghadiri majlis agihan barangan bantuan tersebut dan berharap sumbangan itu dapat membantu keluarga miskin berdepan masalah kelaparan dan kesejukan.
Pada masa sama, Arsala juga berharap masyarakat antarabangsa dapat meringankan beban negaranya akibat krisis kemanusiaan serius menerusi bantuan seperti yang dilakukan China dan Pakistan.
Delegasi kerajaan sementara Afghanistan menuntut agar dana kira-kira AS$10 bilion (RM42 bilion) dinyahbeku Amerika Syarikat dan negara Barat ketika rundingan selama tiga hari di Oslo, Norway yang berakhir pada Selasa.
Namun, sehingga kini pihaknya masih belum menerima hasil positif tentang perkara tersebut.
Menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 50 peratus populasi Afghanistan iaitu 22.8 juta orang rakyatnya menghadapi masalah krisis makanan yang serius sejak November 2021.
Pada bulan September 2021, China telah mengumumkan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kecemasan melibatkan bahan makanan, barang keperluan musim sejuk, vaksin dan ubat-ubatan yang bernilai RMB 200 juta (RM 125 juta) kepada Afghanistan. – Bernama, 27 Januari, 2022.
Komen