PARTI politik perlu menawarkan untuk melantik wakil NGO Melayu sebagai senator untuk meraih sokongan komuniti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Pengerusinya Abdul Halim Husin berkata tawaran itu bagi membolehkan hasrat memartabatkan agenda Melayu dapat diangkat ke peringkat tertinggi.
“NGO dan pemimpinnya akan dilantik sebagai senator bagi menyampaikan hasrat mereka dan keluhan daripada orang Melayu dan peniaga Melayu terutamanya kepada Parlimen.
“Tidak kiralah parti mana memerintah mereka akan menyampaikan suara kami dan melantik pimpinan NGO sebagai senator di Parlimen,” kata Abdul Halim.
MTEM juga menuntut komitmen dalam manifesto untuk menubuhkan kementerian hal ehwal peribumi bagi merancang dan memperkasa ekonomi Melayu secara lebih lebih tersusun.
Selain itu, MTEM yang menaungi 62 organisasi NGO Melayu berteraskan ekonomi di negara ini turut menuntut parti menawarkan untuk merangka dasar menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Dasar baharu itu, yang disebut Abdul Halim sebagai DEB 2.0 harus mengambil kira sasaran lebih mapan seperti status Bumiputera untuk syarikat menyertai perolehan kerajaan pusat.
“Ini bagi memastikan peruntukan besar Bumiputera sampai kepada sasaran sekaligus membanteras kegiatan Alibaba,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.
Mereka juga menggesa manifesto parti politik memberikan komitmen menolak pemimpin yang terkait rasuah dan salah guna kuasa agar tidak dicalorkan semula.
“Sepatutnya ada manifesto menolak pemimpin rasuah dan salah guna kuasa. Banyak didedahkan ramai pemimpin yang rasuah dan salah guna kuasa mereka,” katanya.
Malah pemimpin yang masih belum dijatuhi hukuman juga tidak wajar dicalonkan, kata Abdul Halim.
Selain itu, NGO berkenaan menuntut instrumen wakaf diperkasakan kerana menurut mereka ia merupakan instrumen kewangan yang lebih selamat berbanding institusi perbankan konvensional.
Bagi agenda pemerkasaan ekonomi Islam juga, pertubuhan bukan kerajaan itu menggesa Bank Melayu dan Bank Digital Islam dimasukkan sebagai agenda manifesto.
Turut dituntut, agenda untuk memelihara sejarah dan warisan Melayu
Bagi sektor pendidikan, pertubuhan mencadangkan agendaa pendidikan kemahiran seperti TVET, dengan penubuhan kementerian khusus untuk memaksimumkan potensi sumber tenaga Melayu.
Akses jaringan telekomunikasi juga kata mereka harus ditambah baik, khususnya di kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan.
Gabungan NGO itu juga menggesa aktiviti perdagangan antara negara-negara Melayu Islam di digandakan supaya usahawan Melayu dapat membuka pasaran yang lebih luas.
“Kita sudah muak dengan janji-janji manis kononnya mahu memartabat, memperkasa, menyantuni, dan membela tetapi apabila sudah menang, janji hanya tinggal janji,” katanya.
Tambahnya, selama ini agenda ekonomi Bumiputera akan hanya menjadi alat politik untuk dipertaruhkan setiap kali pilihan raya.
“Kami bersepakat untuk terus mendesak agar tuntutan di atas dijadikan manifesto pilihan raya sehingga ianya dipenuhi kerana tidak mahu kemiskinan ummah merebak menjadi bencana lebih besar. – 14 Oktober, 2022.
Komen