Aktivis selar sistem kesan maklumat pelarian


Sabtu lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata sistem TRIS akan memastikan segala data individu yang memegang kad UNHCR didaftarkan semula bagi mengenal pasti keberadaan pelarian dan pelaporan kepada negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2022.

SISTEM Pengesanan Maklumat Pelarian (TRIS) untuk semua pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR) di negara ini melanggar hak asasi dan tidak berperikemanusiaan, kata dua badan bukan kerajaan (NGO).

The Alliance Of Chin Refugees dan Beyond Borders berkata TRIS akan membuka ruang kepada penyalahgunaan malah tujuannya tidak jelas selepas Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dua hari lalu berkata sistem itu juga akan digunakan untuk “perkara lain”.

Kerajaan sepatutnya mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan NGO yang memperjuangkan hak pelarian sebelum umum perkara itu kelmarin, kata pengasas The Alliance Of Chin Refugees James Bawi Thang Bik dan Mahi Ramakrishnan dari Beyond Borders.

“Keputusan kerajaan meluluskan TRIS tidak berperikemanusiaan dan membuka ruang kepada penyalahgunaan.

“Kerajaan sering menegaskan akan menjejak lokasi pelarian, golongan yang paling tertindas di seluruh dunia.

“Oleh itu kami berharap kerajaan tidak akan menggunakan kaedah yang merampas hak pelarian untuk mendapat suaka atau hidup bermaruah,” kata dua NGO itu dalam satu kenyataan bersama.

Hamzah dalam satu sidang media pada Sabtu berkata sistem TRIS akan memastikan segala data individu yang memegang kad UNHCR didaftarkan semula bagi mengenal pasti keberadaan pelarian dan pelaporan kepada negara.

“TRIS ini juga dapat memastikan mereka yang tinggal di negara kita bagi tujuan bekerja atau melakukan perkara lain dapat dipertingkatkan melalui polisi yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya dipetik Bernama.

Katanya pelaksanaan bagi menjalankan TRIS diberikan kepada sebuah syarikat yang antara lain bertujuan untuk memastikan segala data pelarian khususnya mengenai lokaliti penempatan mereka diketahui. – 25 Julai, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen