NGO gesa PM campur tangan, selamatkan Nagaenthran


Raevathi Supramaniam

Sebahagian daripada aktivis badan bukan kerajaan mengadakan acara menyalakan lilin di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur.– Gambar The Malaysian Insight olej Seth Akmal, 26 April, 2022.

MENJELANG pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran Dharmalingam, acara menyalakan lilin yang diadakan di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri untuk bertindak menghentikan hukuman mati terhadap lelaki kurang upaya intelek itu.

Acara itu dianjurkan oleh Badan Peguam Malaysia bersama dua pertubuhan bukan kerajaan lain yang menyaksikan kira-kira 60 orang hadir.

Naib presiden Sebaran Kasih Putera Jon menggesa Ismail Sabri untuk campur tangan dan menyelamatkan nyawa Nagaenthran dalam semangat Keluarga Malaysia.

“Kami berharap dan kami menggesa kerajaan Singapura untuk menghentikan pelaksanaan hukuman itu dan agar Ismail Sabri campur tangan. Nagaenthran juga sebahagian daripada Keluarga Malaysia,” katanya.

“Kami mahu merayu kepada presiden Singapura, Halimah Yacob, untuk memberinya peluang sekali lagi. Nyawa tidak boleh diambil. Mencabut nyawa seseorang itu adalah di tangan tuhan.

Naib Presiden Keadilan Thiban Subramaniam, menggesa kerajaan Singapura untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman itu atas dasar kemanusiaan.

“Dengan mengambil kira keadaan mentalnya, mereka harus memberinya peluang sekali lagi dan atas dasar kemanusiaan mereka harus mengambil semua langkah untuk menghalang hukuman mati.”

Sebagai sebuah negara maju, Singapura juga harus berusaha ke arah memansuhkan hukuman itu, tambahnya.

“Kita hidup dalam era moden dan Singapura adalah negara maju tetapi dengan masih mengamalkan hukuman mati menunjukkan ada ruang untuk membangunkan undang-undang mereka.

“Kami tahu bahawa banyak negara maju telah memansuhkan hukuman mati, kami menggesa Singapura melihat sejarah mentalnya dan mengambil langkah pertama untuk menghapuskan hukuman mati.”

Sementara itu, penasihat Lawyers for Liberty N. Surendran memberitahu The Malaysian Insight bahawa keluarga Nagaenthran dibenarkan bertemu dengannya selepas rayuan terakhirnya petang ini.

“Tiada apa lagi yang boleh kami lakukan. Dia akan dihukum mati antara 5.45 pagi dan 6 pagi esok.”

Rayuan terakhir Nagaenthran di mahkamah Singapura telah ditolak hari ini manakala rayuan ibunya untuk dibenarkan melantik peguam bagi anaknya tidak diendahkan oleh mahkamah.

Nagaenthran, 34, mempunyai IQ 69, skor yang lebih rendah daripada purata yang layak untuk hilang upaya intelek.

Beliau ditangkap pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram.

Nagaenthran ditangkap dengan heroin yang diikat pada pahanya ketika memasuki negara itu dari Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands pada April 2009.

Beliau pada asalnya dijadualkan dihukum gantung pada November namun rancangan itu mencetuskan kritikan berikutan  tahap IQnya dan peguamnya melancarkan cabaran 11 jam di Mahkamah Rayuan.– 26 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen