DAKWAAN Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) adalah hutan rosot tidak benar kerana usaha pemulihan oleh penduduk tempatan dan Jabatan Perhutanan Selangor telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu, kata sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Susulan itu, Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) yang terdiri daripada 15 NGO mendesak kerajaan negeri berhenti mengeluarkan kenyataan tidak benar bagi menyokong cadangan untuk menyahwartakan 536.7ha hutan itu bagi pembangunan bercampur.
Antaranya, kerajaan negeri mendakwa HSKLU sudah menjadi hutan rosot akibat sering terbakar dan tidak lagi menepati ciri-ciri kawasan hutan simpan kekal, kata gabungan itu.
PHSKLU berkata dakwaan tersebut sama sekali tidak benar tiada kebakaran berlaku sejak 2016 selepas usaha penanaman semula hutan dijalankan.
“Pada 2016, sebanyak 10,000 batang pokok ditanam menerusi usaha membabitkan masyarakat Orang Asli, Jabatan Perhutanan dan pemilik tanah berdekatan termasuk Boh Plantation Estate and Gamuda Cove.
“Tindakan mencegah kebakaran juga diambil dengan membina sekatan parit untuk menaikkan paras air dalam tanah serta pemantauan setiap hari di kawasan sekitar hutan.
“Hasilnya, hanya dua kejadian kebakaran kecil berlaku dalam tempoh lima tahun dan tiada kawasan yang dicadangkan untuk dinyahwarta,” kata PHSKLU dalam kenyataan.
Tambahnya, lebih 300 hektar hutan yang terjejas akibat kebakaran sudah dipulihkan, dengan penanaman pokok dijalankan oleh masyarakat Orang Asli.
Cadangan untuk menyahwarta HSKLU membabitkan separuh daripada seluruh kawasan hutan seluas 900 haktar.
Penyahwartaan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei dan hanya didedahkan pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada 12 Ogos, sehingga mencetus bantahan aktivis alam sekitar dan wakil rakyat.
Lebih-lebih lagi apabila bantahan kepada cadangan penyahwartaan diluluskan ketika sidang DUN pada 11 November tahun lalu. – 7 September, 2021.
Komen