Air mula surut tapi masih ramai mangsa lapar, kata NGO


Diyana Ibrahim

Sejak Sabtu lalu NGO Nurani Relief tidak putus-putus menghantar bukan sahaja bekalan makanan namun barang bantuan lain kepada mangsa banjir. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Disember, 2021.

BIARPUN air mula surut, masih ramai lagi mangsa banjir yang kelaparan dan memerlukan bantuan bekalan makanan, kata badan bukan kerajaan NGO.

Pengawai Operasi NGO Nurani Relief, Fakrulrazi Jamaludin berkata boleh dikatakan setiap hari badan kebajikan itu menerima rayuan dari mangsa banjir yang meminta bantuan makanan.

“Memang setiap hari, biarpun air dah mula surut… Mereka memerlukan bantuan makanan disebabkan terkandas di rumah ini menghadapi masalah bekalan air bersih dan elektrik.

“Nak masak pun tidak boleh. Rumah tenggelam, barang-barang rosak, nak beli sangat terhad jadi inilah isu yang mangsa banjir hadapi ketika ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Fakrulrazi berkata sejak Sabtu lalu, NGO tersebut tidak putus-putus menghantar bukan sahaja bekalan makanan namun barang bantuan lain.

“Macam NGO kami ada rangkaian komuniti di setiap tempat, contoh di KL kita ada enam komuniti seperti di Chow Kit, Cheras, Selayang.

“Jadi setiap wakil komuniti kita akan kumpul di Ampang untuk masak dan dari situ hantar bekalan makanan di tempat terjejas,” katanya yang turut mengagihkan tuala wanita dan keperluan lain.

Beliau memberi contoh, sebanyak 200 hingga 300 bungkusan dihantar ke setiap lokasi di Hulu Langat, Taman Sri Muda dan Puchong, antara kawasan paling teruk terjejas banjir.

Fakrulrazi berkata usaha NGO seperti Nurani Relief bergantung kepada permintaan namun biasanya mengutamakan kawasan warga tak berumah seperti di Kapar dan Chow Kit.

“Di mana saja yang maklum minta bantuan di situ lah kita akan masuk. Tapi yang kami konsisten tetap beri makanan adalah di Kapar dan Chow Kit.

“Fokus kita kepada gelandangan juga sempat tempat mereka tenggelam kerana banjir.

“Jadi kita dah pergi dan bersihkan tempat mereka dan kita konsisten menghantar makanan pagi dan malam untuk gelandangan,” katanya.

Masih ramai lagi mangsa banjir yang kelaparan dan memerlukan bantuan bekalan makanan, kata NGO. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Disember, 2021.

Angkatan Belia Malaysia (Abim) pula memberitahu, ramai pihak mencari mereka untuk mendapatkan pertolongan usaha itu sukar kerana kekangan sumber, tenaga dan akses jalan.

Yang Dipertua Abim Pahang Abdul Aziz Abd Rahman berkata mereka hanya dapat menggerakkan 60 ahli untuk mengagihkan bantuan di setiap daerah yang terjejas.

“Abim terima banyak mesej minta bantuan makanan, maknanya semalam keperluan paling mendesak adalah makanan.

“Tapi disebabkan banyak jalan yang tak boleh lalu kerana banjir jadi sangat sukarlah,” katanya sewaktu lebih 61,000 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan di Selangor dan Pahang.

Katanya, Abim Pahang mengagihkan sumbangan seperti pek makana, kit penjagaan diri, ubatan telah diagihkan kepada mangsa banjir di negeri itu.

Abim kini berusaha melakukan misi pascabanjir bagi kerja-kerja pembersihan memandangkan air mula surut di sekitar Pahang sejak Isnin.

Di sekitar Klang, antara kawasan paling teruk terjejas, pemilik kedai Syarafiq Abd Samad berkata mereka memberi bantuan sekadar termampu kerana begitu ramai mangsa dalam keadaan terdesak.

Syarafiq, 31 berkata, beliau menyumbang makanan kepada mangsa banjir yang berlindung di PPS SK Binjai dan SMK Meru.

“Saya kira bernasib baik sebab rumah dan kedai tidak banjir. Hari Sabtu itu bila kita tengok keadaan teruk  memang  keluarga dah siap sedia di kedai untuk sediakan 100 pek makanan.

“Selepas kami dapat tahu lokasi pusat penempatan sementara dalam jam 8 terus kita agihkan di situ,” katanya turut mengagihkan lampin pakai buang bagi warga emas.

Pemilik kedai, Syarafiq Abd Samad menyumbang makanan kepada mangsa banjir yang berlindung di PPS SK Binjai dan SMK Meru. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Disember, 2021.

Syarafiq berkata keadaan penduduk terputus bekalan makanan agak kritikal kerana kelewatan bantuan dari luar memandangkan laluan terputus kerana dinaiki air banjir.

“Memang masa itu semua dalam keadaan terkejut dan saya dan keluarga sebenarnya sebak kerana kita lihat ramai tidak pentingkan diri biarpun keadaan susah.

“Sebab kami antara terawal hantar bantuan jadi memang nampaklah mangsa ini betul- betul lapar yang kita tak tahu berapa lama terkandas tanpa makanan dan minuman.

“Dan masa itu tak ada lagi makanan di sediakan di PPS (pusat pemindahan sementara), jadi seratus peratus bergantung kepada penduduk sekitar dan alhamdullilah semuanya membantu,” katanya.

Mangsa di kawasan terjejas teruk di Klang dan Shah Alam terpaksa merayu melalui media sosial selepas gagal diselamatkan apabila banjir semakin buruk, hujung minggu lalu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam mengakui bantuan lewat disalurkan, namun menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memastikannya tidak berulang.

Tiada mana-mana pihak patut dipersalahkan atas masalah penyelarasan atau usaha menyelamat katanya yang menambah masalah di Selangor berpunca daripada beberapa faktor. – 23 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen