Israel serbu NGO Palestin, 9 negara EU suarakan kebimbangan


Pejabat pertubuhan hak asasi manusia Al-Haq di Ramallah antara enam pejabat NGO Palestin yang diserbu tentera Israel pada Khamis. – Gambar EPA, 20 Ogos, 2022.

SEMBILAN negara Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat menyuarakan kebimbangan terhadap serbuan Israel ke atas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin pada Khamis.

Menerusi satu kenyataan bersama Kementerian Luar Belgium, Denmark, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Belanda, Sepanyol dan Sweden menyatakan pertubuhan awam yang bebas dan kuat amat diperlukan untuk menggalakkan nilai demokrasi dan penyelesaian dua negara.

“Penglibatan NGO yang semakin kurang dan terhad di Wilayah Palestin yang diduduki terus menjadi kebimbangan,” menurut kenyataan itu lapor Agensi Anadolu. 

Israel didakwa tidak memberikan alasan yang kukuh terhadap langkah mereka mengkaji semula dasar ke atas enam NGO Palestin dan menyenaraikan pertubuhan itu sebagai “organisasi pengganas.”

“Jika ada bukti yang meyakinkan mengapa tindakan itu diambil kami boleh mengambil tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis, tentera Israel menyerbu dan mengarahkan penutupan NGO Palestin di bandar Ramallah dan Al-Bireh Tebing Barat. – Bernama, 20 Ogos, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen