5 maut peluru berpandu bedil pangsapuri di Ukraine


Dua serangan dilaporkan berlaku di bandar Kharkiv, timur Ukraine pada waktu malam dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2022.

LIMA orang terbunuh pada Khamis apabila peluru berpandu membedil sebuah pangsapuri di selatan Ukraine, manakala sebuah pangkalan tentera turut diserang, lapor Agensi Anadolu.

Perkhidmatan Kecemasan Ukraine mengeluarkan kenyataan serangan itu memusnahkan blok pangsapuri lima tingkat yang terletak di bandar Mykolaiv.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun berjaya diselamatkan dari runtuhan, manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Sementara itu, Pentadbiran Tentera Wilayah Lviv mendakwa tentera Rusia melancarkan tiga peluru berpandu, satu daripadanya ditembak jatuh oleh unit pertahanan udara.

Sebuah kompleks tentera di sekitar Lviv dilaporkan rosak akibat serangan itu.

Dua serangan dilaporkan berlaku di bandar Kharkiv, timur Ukraine pada waktu malam dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.

Dalam perkembangan lain, Tentera Udara Ukraine mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menembak jatuh jet pejuang Su-24M Rusia semasa menjalankan operasi di kawasan itu untuk menyokong tenteranya.

Seorang daripada dua juruterbang di dalam pesawat  itu dilaporkan meninggal dunia apabila pesawat itu terhempas di kawasan Poltava. – Bernama, 14 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen