KOREA UTARA pada Sabtu mempertahankan ujian peluru berpandu baru-baru ini sebagai pertahanan yang sah terhadap apa yang dipanggil ancaman tentera AS.
Negara komunis yang tertutup itu telah menjalankan enam pelancaran dalam tempoh kurang dua minggu, terbaharu pada Khamis dengan melancarkan sepasang peluru berpandu balistik.
Pada Selasa, Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak pertengahan ke atas Jepun, mendorong orang ramai di kawasan itu untuk berlindung.
“Pelancaran ujian peluru berpandu oleh DPRK adalah langkah pertahanan diri yang kerap dan terancang untuk mempertahankan keselamatan negara serta keamanan serantau daripada ancaman ketenteraan langsung Amerika Syarikat (AS) yang telah berlangsung selama lebih setengah abad,” kata agensi penerbangan awam Korea Utara tanpa menyatakan pelancaran yang mana, menurut agensi berita KCNA.
Agensi kerajaan itu mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang mengadakan perhimpunan tahunannya di Montreal, pada Jumaat mengecam ujian peluru berpandu Korea Utara beberapa bulan kebelakangan ini dan menggelarnya sebagai bahaya kepada penerbangan awam.
Korea Utara menganggap resolusi yang diluluskan oleh ICAO itu sebagai “provokasi politik AS dan pasukan vasalnya yang bertujuan untuk melanggar kedaulatan DPRK” – singkatan untuk nama rasmi Korea Utara.
Seoul, Tokyo dan Washington telah meningkatkan latihan ketenteraan bersama sejak beberapa minggu kebelakangan ini, selaij menjalankan lebih banyak latihan pada Khamis melibatkan kapal pemusnah Tentera Laut AS dari kumpulan penyerang kapal induk USS Ronald Reagan.
Pelancaran itu adalah sebahagian daripada ujian senjata oleh Korea Utara, yang pemimpinnya Kim Jong Un telah mengisytiharkan kuasa nuklear “tidak dapat dipulihkan”, sekali gus menamatkan kemungkinan rundingan nyahnuklear.
Penganalisis berkata Pyongyang telah merebut peluang kebuntuan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menjalankan ujian senjata yang lebih provokatif.
Para pegawai di Seoul dan Washington telah memberi amaran selama berbulan-bulan yang Pyongyang juga akan menjalankan satu lagi ujian nuklear, mungkin selepas Kongres Parti China pada 16 Oktober. – AFP, 8 Oktober, 2022.
Komen