LIMA orang termasuk anggota polis terbunuh dalam kejadian tembakan di ibu negeri North Carolina, Raleigh, kata pegawai, menambah seorang suspek talah diberkas.
Datuk Bandar Raleigh Mary-Ann Baldwin berkata tembakan berlaku berhampiran Neuse River Greenway, sebuah denai popular di kawasan tersebut.
“Ini hari yang menyedihkan dan tragis bagi bandar Raleigh. Hanya selepas pukul 5.00 petang hari ini, ramai orang ditembak,” katanya pada sidang media.
Jabatan Polis Raleigh “telah mengesahkan lima maut. Salah seorang daripada mereka adalah pegawai polis Raleigh yang tidak bertugas,” katanya, menambah yang penembak telah “dikurung di kediaman di kawasan itu” oleh polis.
Jabatan polis tidak lama kemudian menulis di Twitter yang suspek telah ditahan.
Antara yang cedera ialah seorang pegawai anjing yang telah dibawa ke hospital tetapi tidak mengalami kecederaan serius, katanya.
Keganasan senjata api menjadi masalah utama di Amerika Syarikat (AS) di mana lebih 34,000 orang telah mati akibat tembakan pada tahun ini sahaja, lebih separuh daripadanya akibat bunuh diri, menurut laman web Arkib Keganasan Senjata.
“Kita perlu bekerja lebih keras,” kata Baldwin pada sidang media itu.
“Kita perlu hentikan keganasan tidak masuk akal ini di Amerika. Kita mesti tangani keganasan senjata api. Banyak yang perlu kita buat, dan malam ini banyak yang perlu kita berduka.”
Tembakan di North Carolina berlaku selepas juri pada awal hari menolak hukuman mati dan menyokong hukuman penjara seumur hidup untuk Nikolas Cruz, yang menembak dan membunuh 17 orang di sebuah sekolah menengah Florida pada 2018. – AFP, 14 Oktober, 2022.
Komen