Kerajaan AS bayar AS$127.5 juta kepada waris mangsa tembakan Florida


Pelajar, ibu bapa dan ahli keluarga ditenangkan susulan kejadian tembakan di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di Parkland, Florida yang menyebabkan 17 pelajar maut. – Gambar EPA, 17 Mac, 2022.

JABATAN Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pada Rabu ia mencapai penyelesaian sebanyak AS$127.5 juta dengan mangsa yang terselamat dan waris mangsa tembakan 2018 di sebuah sekolah menengah di Parkland, Florida.

Persetujuan itu menyelesaikan semua 40 kes sivil yang berpunca daripada tembakan pada Februari 2018 di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas yang menyebabkan 17 orang maut dan 17 cedera, kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

“Penyelesaian itu tidak sama dengan pengakuan bersalah oleh kerajaan AS,” katanya.

Mereka yang terselamat dalam tembakan dan keluarga 16 orang yang terbunuh bertindak menyaman kerajaan untuk mendapatkan ganti rugi.

Kejadian itu adalah pembunuhan beramai-ramai di sekolah paling buruk di AS sejak kejadian ngeri di Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut pada 2012, yang menyebabkan 26 maut.

Nikolas Cruz, bekas pelajar di Stoneman Douglas, mengaku bersalah pada Oktober 2021 atas 17 pertuduhan membunuh dan 17 pertuduhan cubaan membunuh.

Dibuang sekolah atas sebab disiplin, Cruz diketahui obses terhadap senjata api—dan dilaporkan dikenal pasti sebagai potensi ancaman kepada rakan sekelasnya.

Dalam saman itu, mangsa yang terselamat dan ahli keluarga menuduh FBI cuai kerana gagal bertindak terhadap petunjuk yang diterima sebelum serangan bahawa Cruz berbahaya.

“Saya tahu dia akan ‘meletup’,” kata seorang wanita yang mengenali Cruz ketika memberikan maklumat awal kepada FBI pada 5 Januari 2018, lima minggu sebelum kejadian tembakan itu.

Cruz akan “menyelinap masuk ke sekolah dan mula menembak tempat itu,” wanita itu dikatakan memberitahu FBI.

FBI mengesahkan ia dimaklumkan beberapa bulan sebelum serangan terhadap mesej yang disiarkan di YouTube, apabila seorang pengguna bernama Nikolas Cruz berikrar: “Saya akan menjadi penembak sekolah profesional.”

“Bertentangan dengan peraturannya sendiri yang ditetapkan, FBI gagal mengambil sebarang tindakan dengan maklumat yang diterimanya,” menurut pertuduhan mahkamah itu.

Cruz secara sah membeli AR-15 yang digunakannya dalam insiden tembakan walaupun terdapat dalam rekod tempatan mempunyai sejarah masalah kesihatan mental.

Kejadian di Florida itu mengejutkan negara dan mencetuskan usaha baharu, diketuai oleh pelajar dari sekolah itu sendiri, untuk kawalan senjata yang lebih ketat.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh pelajar Stoneman Douglas, “March for Our Lives,” menarik ratusan ribu orang ke ibu negara pada Mac 2018. – AFP, 17 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen