DUA orang disahkan terbunuh dan sekurang-kurangnya 20 cedera apabila tiga penembak melepaskan tembakan secara rambang di sebuah konsert di Miami, kata polis.
Insiden itu berlaku di luar dewan bankuet pusat membeli belah Miami Gardens.
Angelica Green memberitahu pemberita di lokasi kejadian anaknya dan anak saudaranya, kedua-duanya berusia 24 tahun antara yang cedera dalam insiden berkenaan.
Anaknya yang menghubunginya sejurus selepas kejadian berkata, sekumpulan lelaki bertopeng menyerbu masuk ke dewan berkenaan sebelum melepaskan tembakan secara rambang.
Menurut Jabatan Polis Miami-Dade, satu acara diadakan di lokasi terbabit ketika kejadian sebelum sebuah kenderaan utiliti sukan mendekati kawasan berkenaan dan tiga suspek keluar daripada kenderaan itu sambil melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
Kesemua suspek berjaya melarikan diri. Motif serangan masih disiasat. – AFP, 31 Mei, 2021.
Komen