Seorang maut, beberapa lagi cedera dalam insiden tembakan Texas 


SEORANG maut manakala beberapa lagi parah susulan insiden tembakan di sebuah premis perniagaan di Texas pada Khamis, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menyifatkan keganasan senjata api sebagai ‘epidemik’ dan mendedahkan rancangan untuk menangani krisis itu. 

Menurut jabatan polis pekan Bryan di timur Texas, suspek kini dalam tahanan. 

Penguatkuasa berkata beberapa individu ditembak dan salah seorang anggota polis turut cedera dalam kejadian itu. Suspek merupakan pekerja sebuah kilang kabinet di kawasan berkenaan. 

Ketua Polis Eric Buske berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.30 petang berhubung serangan di kilang kabinet Kent Moore. 

“Seorang maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita dan menambah empat lagi mangsa dikejarkan ke hospital dan kini dalam keadaan kritikal. 

Jabatan Polis Bryan mengesahkan tujuh mangsa terlibat termasuk seorang individu mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi berdepan masalah kesihatan susulan kejadian itu. 

Jabatan Keselamatan Awam Texas melaporkan salah seorang anggota keselamatan ditembak ketika mengejar suspek yang terlibat dalam insiden tembakan di Bryan. Anggota terbabit masih dalam keadaan serius namun stabil. 

Tidak dapat dipastikan sama ada anggota berkenaan termasuk dalam jumlah mangsa yang dikeluarkan Jabatan Polis Bryan. – AFP, 9 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen