Ibu bapa suspek tembakan AS ditahan 


James dan Jennifer Crumbley yang merupakan ibu bapa kepada suspek Ethan Crumbley ditahan selepas didakwa atas tuduhan membunuh tanpa sengaja.– Gambar EPA, 4 Disember, 2021.

IBU bapa kepada seorang remaja berusia 15 tahun yang menembak mati empat pelajar di sebuah sekolah menengah AS dengan pistol yang dibeli oleh bapanya ditahan selepas didakwa atas tuduhan membunuh tanpa sengaja, menurut laporan media AS.

Keberadaan James dan Jennifer Crumbley yang merupakan ibu bapa kepada suspek Ethan Crumbley, masih tidak diketahui sepanjang hari Jumaat, menyebabkan pihak berkuasa di Oakland County, Michigan menganggap mereka pelarian.

Tetapi polis menemui mereka di sebuah bangunan perindustrian di Detroit—40 batu dari tempat kejadian tembakan di Oxford—satu blok dari tempat kenderaan mereka yang disyaki ditemui, jurucakap polis Detroit Rudy Harper kepada CNN.

Peguam kepada pasangan berkenaan Shannon Smith dan Mariell Lehman sebelum ini memberitahu AFP bahawa selepas meninggalkan bandar pada malam kejadian tembakan “untuk keselamatan mereka sendiri,” mereka akan “kembali ke kawasan untuk menerima tindakan.”

Namun pegawai penguatkuasa undang-undang tempatan memberitahu CNN bahawa ibu bapa suspek mengeluarkan $4,000 dari mesin wang berhampiran Oxford pada hari Jumaat dan mematikan telefon mereka, sekali gus  menambahkan misteri kehilangan mereka.

Pendakwaraya Daerah Oakland Karen McDonald, dalam satu tindakan yang jarang dilakukan oleh penguatkuasa undang-undang, mengumumkan bahawa mereka menghadapi empat pertuduhan membunuh tanpa sengaja.

“Tuduhan ini bertujuan untuk mempertanggungjawabkan individu yang menyumbang kepada tragedi ini dan juga menghantar mesej bahawa pemilik senjata mempunyai tanggungjawab,” kata McDonald pada sidang media. – AFP, 4 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen