Jordan, Malaysia bincang tingkatkan hubungan ekonomi 


Pertukaran perdagangan antara Malaysia dan Jordan sepanjang tahun lalu berjumlah kira-kira AS$283 juta.– Gambar EPA, 13 Oktober, 2022.

PERSATUAN Peniaga Jordan (JBA) berminat menjalin kerjasama dengan rakan-rakan mereka di Malaysia bagi membina perkongsian strategik dalam bidang pelaburan pada tahun depan demi memenuhi kepentingan bersama antara kedua-dua negara.

Inisiatif ini dibincangkan antara Presiden JBA Hamdi Tabbaa dan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Amman, Wan Faizatul Afzan Ismayatim semasa sesi mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat JBA pada Rabu.

Kedua-dua pihak turut membincangkan mekanisme untuk membangunkan hubungan ekonomi dua hala, menekankan keperluan mengadakan mesyuarat dalam mengenal pasti sektor ekonomi penting dan peluang pelaburan utama serta meningkatkan rangkaian antara ahli perniagaan dua negara, lapor Agensi Berita Jordan (Petra) memetik kenyataan JBA.

“Jordan dan Malaysia berkongsi hubungan “bersejarah yang erat” dan sentiasa berkembang, tetapi memerlukan usaha untuk mengukuhkannya,” katanya.

Beliau juga mendedahkan bahawa Malaysia boleh melabur dan mendapat manfaat daripada insentif pelabur, terutamanya dalam industri farmaseutikal dan makanan, teknologi maklumat dan keselamatan makanan.

JBA dilihat sebagai cabang pelaburan Jordan sejak penubuhannya dengan melancarkan majlis perniagaan bersama serta menandatangani memorandum kerjasama dan persefahaman dengan pelbagai institusi perniagaan Arab dan asing, katanya.

Beliau juga menyeru sektor swasta Malaysia untuk melabur dalam pelbagai industri di Jordan.

Sementara itu, diplomat Malaysia itu menekankan pentingnya memperkukuh dan membangunkan kerjasama secara bersama agar kedua-dua pihak dapat meneroka pasaran, sambil menyatakan bahawa pasaran Malaysia adalah “pelbagai, luas dan makmur”.

Pertukaran perdagangan kedua-dua negara sepanjang tahun lalu berjumlah kira-kira AS$283 juta, yang mana AS$59 juta merupakan eksport ke Jordan dalam industri kimia dan mineral serta produk tumbuhan, menurut kenyataan itu. – Bernama, 13 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen