14 maut runtuhan bangunan kediaman di Jordan


Pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus membawa keluar mangsa runtuhan bangunan kediaman empat tingkat di Jabal al-Weibdeh yang tumbang Selasa lalu. – Gambar AFP, 17 September, 2022.

OPERASI mencari dan menyelamat mangsa runtuhan bangunan kediaman di Amman, Jordan ditamatkan pada hari keempat selepas mayat terakhir berjaya dibawa keluar.

Ini menjadikan jumlah korban akibat tragedi itu meningkat kepada 14 orang.

“Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang maut hari ini, angka kematian kini berjumlah 14 orang,” kata jurucakap keselamatan awam, Amer al-Sartawi.

Operasi menyelamat besar-besaran bermula apabila bangunan kediaman empat tingkat di Jabal al-Weibdeh tumbang, Selasa lalu. Jabal al-Weibdeh adalah salah satu kejiranan tertua di Amman.

Penemuan mayat itu – menurut sumber perubatan adalah seorang wanita – bermakna semua mangsa yang hilang berjaya dibawa keluar sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat.

Pendakwa raya Jordan mengarahkan penahanan tiga individu bagi membantu siasatan, termasuk pengurus bangunan serta dua pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian, lapor media kerajaan.

Kawasan tragedi itu terletak di daerah Jabal al-Weibdeh di tengah-tengah ibu negara, terkenal dengan kehidupan budaya yang rancak dan rumah kepada sejumlah besar ekspatriat.

Pasukan kecemasan berjaya menyelamatkan bayi perempuan berusia empat bulan daripada serpihan pada Khamis. Bayi berkenaan hanya mengalami kesan lebam kecil. – AFP, 17 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen