5 maut, 14 cedera bangunan runtuh di Jordan


Perdana Menteri Jordan Bisher al-Khasawneh mengarahkan datuk bandar Amman dan pegawai lain untuk menyiasat punca runtuhan yang menyebabkan lima maut dan 14 cedera. – Gambar AFP, 14 September, 2022.

LIMA mayat ditemui selepas bangunan kediaman empat tingkat runtuh di ibu negara Jordan semalam manakala 14 lagi cedera dan yang lain masih terperangkap, kata pihak berkuasa.

Jumlah korban akibat runtuhan di daerah Jabal al-Weibdeh di bandar itu meningkat kepada lima maut dan 14 cedera, kata jurucakap keselamatan Amer al-Sartawy dalam satu kenyataan.

Beliau sebelum ini memberitahu televisyen kerajaan pasukan pertahanan awam sedang disokong oleh pasukan dari perintah keselamatan wilayah dan gendarmerie serta usaha menyelamat sedang dijalankan.

Sumber di perkhidmatan pertahanan awam berkata masih terdapat “sebilangan orang terperangkap dalam bangunan runtuh” tanpa memberikan angka tepat.

Anggota penyelamat dilihat menjalankan usaha mencari di dalam runtuhan bangunan sebelum membawa keluar seorang mangsa wanita.

Perdana Menteri Bisher al-Khasawneh memeriksa bangunan yang rosak itu bersama-sama dengan menteri dalam negeri, kesihatan dan maklumat, kata seorang wartawan.

Jurucakap kerajaan Faisal al-Shaboul memberitahu pemberita di tapak itu Khasawneh mengarahkan datuk bandar Amman dan pegawai lain untuk menyiasat punca runtuhan itu.

Timbalan Perdana Menteri Jordan Tawfiq Kreishan memberitahu televisyen kerajaan, “antara sebab bangunan itu runtuh adalah kerana ia sudah lama dan usang”.

Bangunan di sekeliling sedang dinilai, tambahnya.

Sumber kehakiman yang enggan dikenali memberitahu AFP pihak pendakwaan sudah melancarkan siasatan ke atas insiden itu.

Jabal al-Weibdeh adalah antara daerah tertua di Amman, sejak awal abad ke-20 dan didiami oleh sejumlah besar ekspatriat. – AFP, 14 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen