Jordan siasat insiden kebocoran gas klorin ragut 13 nyawa


Pihak berkuasa menyiasat tempat kejadian selepas letupan tangki yang mengandungi sejumlah besar gas klorin toksik, di pelabuhan di Aqaba, Jordan, hari ini. – Gambar EPA, 28 Jun, 2022.

PENDAKWA RAYA Jordan pada Selasa melancarkan siasatan insiden kebocoran gas klorin yang membunuh 13 orang dan mencederakan lebih 300 di bandar pantai Aqaba.

Sekurang-kurangnya empat migran Asia termasuk yang terbunuh pada Isnin apabila tangki gas beracun itu jatuh di tepi dermaga di pelabuhan Laut Merah, kata pegawai.

Sumber kehakiman memberitahu AFP pendakwa raya negara dan pasukan pakar forensik menjalankan pemeriksaan dan mengumpul sampel serta bukti di tempat kejadian dan memulakan prosedur penyiasatan.

Ketika Raja Abdullah II mempengerusikan mesyuarat tergempar sel krisis kerajaan, menteri kesihatan negara itu berkata 332 orang dimasukkan ke hospital selepas kejadian itu, walaupun kebanyakannya dibenarkan keluar.

Kebanyakannya dirawat kerana kesan pernafasan gas klorin, agen pembersih biasa yang juga mempunyai pelbagai kegunaan industri lain dan boleh digunakan sebagai agen senjata kimia.

“Semua yang cedera mengalami simptom sama, sesak nafas, batuk yang teruk dan vertigo,” kata Dr Rouba Aaamawi dari Hospital Islam di Aqaba yang merawat 70 orang, beberapa orang terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Pelabuhan itu mula kembali seperti biasa Selasa, dengan semua kecuali satu dok dibuka semula kerana pemeriksaan keselamatan lanjut akan dijalankan, kata Menteri Dalam Negeri Jeneral Mazen al-Faraya.

“Keadaan di Aqaba kini terkawal,” kata Perdana Menteri Bisher al-Khasawneh.

Klorin mengalami kebocoran apabila kabel terputus pada kren yang membawa tangki gas cecair ke atas kapal, menyebabkan ia terhempas ke tanah di bahagian dermaga.

Ia menyebabkan kontena bocor, gas kuning menyelubungi kapal pengangkut Forest 6, seperti dilihat mellui TV litar tertutup.

Pada Selasa, pasukan pertahanan awam dilihat memeriksa tempat kejadian, sebahagiannya berpakaian sut hazmat.

Pengarah silo bijirin pelabuhan, Imad Tarawneh, berkata ia akan ditutup selama dua hari bagi pemeriksaan pencemaran.

Beliau berkata tiada kesan kepada trafik pelabuhan kerana pada masa ini tiada pembawa bijirin di dok.

“Silo dibina daripada konkrit dan ditutup rapat tetapi, walaupun begitu, semua langkah berjaga-jaga yang perlu diambil dan semua operasi pemunggahan dihentikan,” katanya.

Ketua Syarikat Aqaba untuk Operasi dan Pengurusan Pelabuhan, Khaled Maayta, berkata silo bijirin itu hanya 600 meter dari lokasi kejadian pada Isnin.

Klorin mempunyai pelbagai kegunaan industri dan terkenal kerana penggunaannya sebagai agen senjata kimia dalam Perang Dunia I. Ia menyerang sistem pernafasan, kulit dan mata. – AFP, 28 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen