Nama Najib dalam senarai calon PRU15 Parlimen Pekan


Nama bekas perdana menteri Najib Razak turut dimasukkan dalam senarai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2022.

NAMA bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara, turut dimasukkan dalam senarai calon berpotensi untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Bahagian Umno Pekan Zamri Ramly yang mengesahkan perkara itu, berkata Najib antara lima nama yang dicalonkan oleh bahagian itu.

Zamri berkata mereka tidak mencalonkan mana-mana anak Najib sebagai calon di kawasan itu dan mendakwa Pekan akan dikembalikan kepada Najib jika beliau menerima pengampunan diraja.

“Tidak ada cadangan untuk meletakkan anak Najib bertanding di kerusi Pekan walaupun jika Najib tidak layak bertanding.

“Sebaliknya, siapa yang terpilih akan memulangkan kerusi itu kepada Najib jika beliau menerima pengampunan diraja,” kata Zamri dipetik daripada Utusan Malaysia.

Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan selama 10 penggal.

Zamri bagaimanapun tidak mendedahkan empat lagi nama calon.

Walaupun anak Najib iaitu Nizar dan Nooryana Najwa tidak dicalonkan untuk Pekan, beliau berkta Nizar yang juga ketua Pemuda Umno Pekan, dicalonkan bagi kerusi DUN di Parlimen Pekan.

Terdapat empat kerusi DUN di Pekan iaitu Chini, Bebar, Peramu Jaya dan Pulau Manis.

Keluarga Najib memegang kerusi Pekan sejak 1959, kecuali bagi satu penggal dari 1982 hingga 1986 ketika Najib menteri besar.

Bapa Najib, Abdul Razak Hussein menang di Pekan dan menjadi ahli Parlimen di situ hingga kematiannya, dan kemudian diambil alih oleh Najib.

Najib pada masa ini menjalani hukuman penjara 12 tahun susulan sabitannya dalam kes SRC International dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau memfailkan semakan untuk membatalkan sabitan itu dan memohon pengampunan diraja. – 13 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen