Seramai 10 orang termasuk seorang pelajar perempuan terbunuh dalam satu letupan di sebuah stesen minyak di barat laut Ireland, kata polis semalam.
Letupan berlaku kira-kira 3:20 petang pada hari Jumaat di kampung County Donegal Creeslough, kata polis Ireland Garda Siochana dalam sidang media semalam.
“10 mangsa yang terkorban ialah empat lelaki, tiga wanita, dua remaja—seorang lelaki dan seorang perempuan—dan seorang kanak-kanak perempuan,” kata polis sambil menambah semua mangsa kelihatan seperti penduduk tempatan.
Tumpuan akan beralih kepada punca kejadian selepas operasi mencari dan pulih selesai.
Usaha menyelamat oleh perkhidmatan kecemasan Ireland diteruskan sepanjang malam selepas letupan melanda kawasan hadapan stesen minyak dan kompleks pangsapuri berdekatan.
Gambar udara yang diambil selepas letupan menunjukkan bangunan stesen minyak musnah.
Penduduk Kieran Gallagher yang rumahnya terletak kira-kira 150 meter dari tempat kejadian berkata letupan itu berbunyi seperti “bom”.
“Saya berada di rumah pada masa itu dan mendengar bunyi letupan seperti bom meletup,” katanya kepada BBC.
Banyak kenderaan perkhidmatan kecemasan berada di tempat kejadian semalam termasuk perkhidmatan bomba dari kedua-dua belah sempadan Ireland Utara yang dikendalikan oleh British.
Kakitangan pertahanan awam turut terlibat dan sebuah helikopter pengawal pantai membawa beberapa mangsa yang cedera dari Hospital Universiti Letterkenny ke ibu kota Dublin untuk rawatan lanjut. – AFP, 10 Oktober, 2022.
Komen