10 maut letupan di stesen minyak Ireland


Keadaan stesen minyak di barat laut Ireland yang musnah akibat letupan dan meragut 10 nyawa. – Gambar Facebook, 9 Oktober, 2022.

SEBANYAK 10 mangsa termasuk seorang pelajar sekolah maut dalam satu letupan di sebuah stesen minyak di barat laut Ireland, kata polis pada Sabtu.

Letupan berlaku kira-kira 3.20 petang (1520 GMT) pada Jumaat di kampung County Donegal Creeslough, kata polis Ireland, Garda Siochana dalam sidang media pada Sabtu.

“Sepuluh mangsa yang terkorban ialah empat lelaki, tiga wanita, dua remaja—seorang lelaki dan seorang perempuan—dan seorang perempuan lebih muda,” kata polis sambil menambah kesemua mangsa warga tempatan.

Polis menangani kejadian itu dengan fikiran terbuka tetapi berkata “maklumat kami pada masa ini menunjukkan ia kemalangan tragis”.

Tumpuan akan beralih kepada punca kejadian selepas operasi mencari dan menyelamat selesai.

Usaha menyelamat oleh perkhidmatan kecemasan Ireland diteruskan sepanjang malam selepas letupan di  kawasan hadapan stesen minyak dan kompleks pangsapuri berdekatan.

Gambar udara yang diambil selepas letupan menunjukkan stesen minyak musnah. Dua bangunan kediaman dua tingkat di belakangnya runtuh.

Penduduk Kieran Gallagher, yang rumahnya terletak kira-kira 150 meter dari tempat kejadian, berkata letupan itu berbunyi seperti “bom”.

“Saya berada di dalam rumah dan mendengar letupan itu. Serta-merta saya tahu ia pasti sesuatu—ia seperti bom meletup,” katanya kepada BBC.

Banyak kenderaan perkhidmatan kecemasan kekal di tempat kejadian semalaman, termasuk perkhidmatan bomba dari kedua-dua sempadan dengan Ireland Utara.

Gardai dan kakitangan pertahanan awam turut terlibat, dan sebuah helikopter pengawal pantai membawa beberapa mangsa yang cedera dari Hospital Universiti Letterkenny ke ibu kota Dublin untuk rawatan lanjut.

Hospital universiti yang terletak kira-kira 24km dari tempat kejadian diletakkan dalam persediaan enangani “pelbagai kecederaan”, katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin menyebutnya sebagai “hari yang sangat gelap” ketika bercakap dengan media secara ringkas sebelum menuju ke tempat kejadian.

“Skala dan kebesarannya, ia adalah komuniti yang kecil, ini bermakna hampir semua orang mengenali individu yang kehilangan nyawa mereka,” katanya.

“Ia adalah hari yang sangat gelap bagi penduduk Donegal dan Ireland.”

Martin bercakap dengan anggota perkhidmatan kecemasan selepas tiba, mengucapkan terima kasih atas usaha mereka.

“Kita perlu memahami semua itu,” katanya mengenai tragedi itu.

“Ini adalah skala kematian dan kecederaan yang kita tidak mahu lihat berlaku ketika orang ramai menjalani kehidupan seharian mereka.

“Seorang kanak-kanak kecil di kedai itu kehilangan nyawanya, dan dua remaja,” tambahnya. “Ia benar-benar satu peristiwa yang mengejutkan dan tragis yang menyebabkan korban luar biasa kepada komuniti ini.”

Creeslough terletak sekitar 50km dari sempadan Ireland Utara dan mempunyai populasi kira-kira 400 orang. – AFP, 9 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen