PERDANA Menteri Ireland Micheal Martin disahkan positif Covid-19 pada Rabu, kata duta negara ke Amerika Syarikat (AS), memaksa beliau meninggalkan majlis yang dihadiri Joe Biden.
Martin, lebih dikenali sebagai Taoiseach di negaranya, berada di Washington dan dijangka bertemu Presiden AS Biden di Rumah Putih pada Khamis sempena Hari St Patrick.
Beliau kelihat duduk di sebelah speaker Dewan Rakyat Nancy Pelosi pada majlis Gala Dana Ireland di Muzium Bangunan Negara di ibu negara AS sejurus sebelum beredar apabila ujian PCR positif.
Duta Ireland ke AS Daniel Mulhall melalui ciapan di Twitter berkata: “Saya mengisi jawatan Taoiseach selepas beliau disahkan positif Covid-19. Saya doakan Taoiseach kembali sihat.”
Mulhall memberi ucapan pada majlis yang sepatutnya disampaikan oleh Martin.
Taoiseach pada Khamis dijadualkan melawat Rumah Putih untuk menghadiahkan Biden semangkuk shamrock yang ditanam di Ballinskelligs, barat daya Ireland, selaras dengan tradisi Hari St Patrick yang telah lama wujud.
Biden berkata dalam ucapannya pada acara gala itu: “Saya mewarisi sebelah ibu saya kebanggaan luar biasa keluarga, kebanggaan yang luar biasa sebagai orang Ireland.”
Martin berasa sihat dan semakin pulih di kediaman tetamu Presiden AS di Washington, Blair House, menurut laporan.
Tidak jelas bagaimana keputusan positifnya akan menjejaskan jadualnya di AS atau kepulangannya ke Ireland, yang pada Ahad akan mengadakan hari peringatan kebangsaan untuk memperingati mereka yang meninggal dunia semasa wabak Covid-19. – AFP, 17 Mac, 2022.
Komen