MENTERI Luar dan Pertahanan Ireland Simon Coveney akan ke Kyiv pada Khamis untuk bertemu dua rakan sejawatnya dari Ukraine, kata pejabatnya.
Lawatan Coveney merupakan yang pertama oleh seorang menteri luar daripada anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB ke Kyiv sejak pencerobohan Rusia bermula.
Rundingannya dengan Menteri Luar Dmytro Kuleba dan Menteri Pertahanan Oleksii Reznikov akan memberi tumpuan kepada “bagaimana Ireland dapat beri sokongan politik, keselamatan dan kemanusiaan kepada Ukraine,” kata kenyataan tersebut.
Menteri-menteri itu juga akan membincangkan bagaimana Ireland dapat “membantu Ukraine dalam permohonannya untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU), melanjutkan sekatan EU ke atas Rusia selain menekan Rusia untuk bertanggungjawab atas pencerobohannya yang kejam dan tidak wajar.”
Coveney juga akan “melawat kawasan yang terjejas oleh pencerobohan Rusia,” kata kenyataan itu.
Ireland telah pun memberikan bantuan AS$22 juta kepada pelarian Ukraine, serta AS$36 juta dalam bentuk bantuan kepada tentera Ukraine. – AFP, 14 April, 2022.
Komen