Pengurangan cukai bantu ringankan kos bisnes, kata persatuan


Pemotongan 2% mata peratusan daripada 17% kepada 15% menghasilkan penjimatan sebanyak RM2,000 kepada 150,000 pembayar cukai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2022.

PEMOTONGAN cukai bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tahun depan akan membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan mereka, kata Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia  (ACCCIM), Low Kian Chuan.

Beliau berkata, kadar cukai yang lebih rendah ke atas pendapatan boleh cukai untuk RM100,000 pertama memenuhi permintaan ACCCIM untuk membantu PMKS memulihkan perniagaan mereka.

“PMKS sudah pun dibebani dengan peningkatan ketara dalam kos perniagaan dan operasi, justeru pemotongan 2% mata peratusan daripada 17% kepada 15% menghasilkan penjimatan sebanyak RM2,000 kepada 150,000 pembayar cukai,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan Dagang NeXchange Bhd, Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, dana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk pendigitalan dan automasi, pelaburan dalam syarikat milik tempatan dan teknologi tinggi serta geran dan insentif cukai yang berkaitan boleh membantu menjana pertumbuhan dan pengembangan PKS.

“Insentif untuk memacu pendigitalan secara keseluruhan boleh menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan PKS, sektor swasta dan awam dan membawa kepada peningkatan dalam inovasi, peningkatan produktiviti dan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.

Dalam Belanjawan 2023, sebanyak RM10 bilion dana pinjaman akan disediakan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan automasi dan pendigitalan PKS serta menyokong agenda keselamatan makanan dan pemulihan sektor pelancongan.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Soh Thian Lai berkata, peruntukan RM1 bilion bagi kemudahan peralihan karbon rendah untuk membantu PKS mengguna pakai amalan rendah karbon serta geran padanan RM10 juta untuk membantu PKS menjalankan penilaian karbon adalah permulaan yang baik untuk mereka melaksanakan agenda prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Melangkah ke hadapan, lebih banyak pembiayaan diperlukan untuk beberapa tahun akan datang bagi membantu PKS mengekalkan dan meneruskan ESG mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Group Bhd, Rohit Nambiar berkata, peruntukan RM305 juta melalui skim Penjaja Muda untuk usahawan belia memberi dorongan yang kukuh kepada keusahawanan muda dan akan membantu menangani pengangguran, memupuk bakat (kemahiran) dalam golongan muda serta menghasilkan peluang pertumbuhan baharu kepada ekonomi.

“Salah satu tonggak perniagaan Tune Protect adalah membantu PKS mengurangkan faktor risiko yang muncul apabila memiliki perniagaan.

“Untuk mengukuhkan lagi perkhidmatan kami kepada pasaran yang kurang mendapat perhatian ini dan merapatkan jurang perlindungan, kami akan melancarkan produk baharu yang disasarkan kepada PKS khususnya untuk pekerja mereka dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Wong Siew Hai menyokong langkah kerajaan untuk mengenal pasti sektor elektrik dan elektronik (E&E) sebagai gelombang pertama transformasi pelaburan.

“Kami bersetuju dengan Dasar Pelaburan Baharu iaitu sektor E&E mewakili bahagian penting dalam ekonomi Malaysia dengan potensi pertumbuhan pesat yang boleh dipertingkatkan dengan ketara dengan sokongan pelaburan yang betul.

“Menangani cabaran yang dihadapi oleh pihak berkepentingan ekosistem secara proaktif melalui inisiatif pelaburan yang berkesan adalah penting untuk memacu pertumbuhan sektor itu,” katanya. – Bernama, 8 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen