Gaji minimum dorong PKS naikkan harga, kata pemain industri


Khoo Gek San

Pelaksanaan gaji minimum memaksa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyesuaikan harga mereka untuk terus bertahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2022.

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) bersedia untuk menyesuaikan harga mereka sebanyak 25% hingga 30% dalam usaha untuk terus bertahan, kini dengan tekanan tambahan untuk membayar gaji minimum baharu RM1,500 kepada pekerja, kata pakar industri.

Mereka berdepan dengan peningkatan kos bahan mentah, pengangkutan dan logistik lain malah diburukkan lagi oleh perang Rusia ke atas Ukraine yang meningkatkan harga dan kos bahan mereka.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing berkata PKS dijangka menaikkan harga mereka sebanyak 15% hingga 30% pada Jun.

Gaji minimum baharu sahaja menyumbang kepada kenaikan 25% dalam kos operasi bulanan manakala PKS hanya membuat keuntungan 10% hingga 15%, katanya.

Mereka tidak dapat pulang modal, tambahnya.

“Perniagaan menyelaraskan harga bukan untuk tujuan keuntungan tetapi supaya kita tidak membelanjakan wang lebih daripada yang diterima,” katanya.

Ahli PKS dalam persatuan itu melaporkan mereka kini membayar tambahan gaji RM20,000 hinga RM1 juta dengan gaji minimum baharu yang berkuat kuasa pada 1 Mei.

Ramai daripada mereka merasakan kadar kenaikan gaji minimum sebelum ini sebanyak RM1,200 dinaikkan berperingkat dan bukannya kenaikan mendadak RM300 setiap pekerja.

“PKS akan terpaksa menaikkan harga sebanyak 25% hingga 30% jika kita tidak dapat mengimbangi kos bahan dan keuntungan.

“Tetapi jika harga bahan mentah turun mungkin tidak ada keperluan. Kami sudah merasa tekanan sejak November dan mula rugi pada Januari dan Februari.

“Dengan perang Rusia-Ukraine ketika ini kami lebih tertekan. Kami sudah memberikan cadangan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk memberikan rebat untuk penginapan kakitangan dan sebagainya tetapi tiada maklumat terkini.

Presiden Persatuan PKS Sabah Foo Nge Kee berkata perniagaan di negeri itu dijangka melaraskan harga sebanyak 10%.

“Sekarang ini kami hanya cuba untuk terus bertahan dengan bergantung kepada simpanan kami,” katanya juga tidak bersetuju dengan masa gaji minimum yang lebih tinggi.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata beberapa syarikat perkilangan sudah membayar gaji melebihi kadar gaji minimum tetapi kesan daripada menggubal kadar baharu dan mewajibkannya telah membawa kepada peningkatan keseluruhan kos di seluruh negara.

“Ia menyebabkan peningkatan serta-merta sebanyak 25% hingga 36% daripada gaji pokok yang akan memberi kesan ke atas kos keseluruhan gaji dan memberi kesan yang meningkat kepada kos perniagaan,” katanya.

Soh berkata pengilang juga berdepan peningkatan kos dalam bahan mentah dan logistik.

“Keupayaan industri untuk menyerap kos operasi yang lebih tinggi dalam persekitaran perniagaan semasa adalah terhad seperti yang dapat dilihat daripada laporan akhbar mengenai kenaikan harga barangan makanan dalam beberapa minggu lalu di mana inflasi Malaysia seperti yang diukur oleh indeks harga pengguna (CPI) meningkat kepada 2.3% pada April 2022 berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Kerajaan harus terus mengurangkan kesan penolakan gaji dalam meningkatkan kos buruh dengan menyediakan potongan cukai dua kali untuk pelaksanaan gaji berkaitan produktiviti dan inisiatif pengurusan yang rendah, menurunkan cukai korporat dan terus menyediakan bantuan kewangan untuk automasi dan mekanisasi untuk syarikat.

Pelancongan juga terutamanya bagi pengusaha kecil dan sederhana mendapati gaji minimum sukar untuk perniagaan, kata Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya.

Kumpulan itu meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan gaji RM1,500 dengan memo kepada kementerian pelancongan, kewangan dan sumber manusia serta sedang menunggu jawapan, katanya.

Kenaikan RM300 dalam gaji setiap pekerja adalah kenaikan sebanyak 25% tetapi sektor hotel dan pelancongan masih belum pulih sepenuhnya dan tidak akan pulih sehingga ketibaan pelancong kembali seperti sebelum Covid-19. – 2 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen