Kula, Saravanan berbalah isu pekerja asing


Raevathi Supramaniam

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata kerajaan PH umum moratorium terhadap pekerja Bangladesh sejak 2018 menyebabkan negara alami kekurangan pekerja warga asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2022.

KECOH Dewan Rakyat hari ini apabila Menteri Sumber Manusia M. Saravanan dan M. Kula Segaran (Ipoh Barat-PH) bertikam lidah berkenaan siapa yang sepatutnya bertanggungjawab atas kelewatan memperoleh buruh warga asing.

Kula menuduh Saravanan dan kementeriannya bertanggungjawab dalam isu itu kerana ia sebenarnya hanya perlu meluluskan kuota dan menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) dengan negara sumber.

Sementara itu, Saravanan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menguruskan pelbagai perkara lain seperti biometrik dan Visa Dengan Rujukan (eVDR).

“Anda beri alasan, apa peranan anda sebagai pengerusi bersama dalam jawatankuasa dengan KDN?,” kata Kula.

“Kenapa anda tidak minta mereka percepatkan urusan ini. Anda kelirukan rakyat dengan berkata kita tidak ada MoU. Kita ada satu dengan Nepal, saya yang tandatangani MoU itu,” kata Kula.

Saravanan dalam jawapannya berkata salah Kula menyebabkan Malaysia tidak menerima pekerja Bangladesh sejak tiga tahun lalu.

Kula adalah menteri sumber manusia dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dan ketika itu beliau mengenakan moratorium terhadap pekerja dari Bangladesh bermula 1 September, 2018.

“Ramai orang guna isu ini sebagai kelebihan politik mereka dan faktanya sudah diputarbelitkan,” kata Saravanan.

“Saya mahu menjawabnya dengan profesional tetapi memandangkan Kula cuba tukar fakta, bila kita bercakap tentang pekerja warga asing, ramai dari Bangladesh dan selebihnya dari Indonesia.

“Masa dia jadi menteri, dia umum moratorium terhadap pekerja dari Bangladesh, jadi tidak ada pekerja dari sana hinggalah PH hilang kuasa.

“Bila kerajaan berubah dan saya mengambil alih, kita berdepan pula dengan Covid-19.

“Maka, oleh kerana tindakan beliau, selama tiga tahun hingga 1 April – ketika sempadan dibuka semula – kita tidak terima pekerja dari Bangladesh,” kata Saravanan.

Malaysia menandatangani MoU dengan Bangladesh pada Jun tahun ini sementara MoU dengan Indonesia ditandatangani pada Julai. – 4 Oktober, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen