Sayang semuanya sudah terlambat


Izmil Amri

TEMPOH hari saya ada makan dalca. Tapi dalca ni ada letak kubis. Kacang dal pun tidak kembang habis. Tiada kentang mahupun terung. Tomato ada, tapi tak masak. Dipotong seperti bunga, buat hiasan.

Gagal. Sebagai orang Pulau Pinang, saya sedikit emosi. Mujur tak terbalik meja.

Dalam kaifiyat dan nahu memasak kuah dalca, kita bukan setakat perlu tahu bahan apa perlu digunakan dan bagaimana melayani setiap bahan itu. Tetapi juga kita memerlukan roh dan semangat untuk memupuk seperiuk dalca yang sempurna. Jika tidak, dalca akan jadi ceroi dan selayaknya dicurah ke muka tukang masak. Ceroi ini maksudnya cairlah.

Lalu pada dalca inilah saya menemukan masalah-masalah Pakatan Harapan (PH) dan Muda.

Saya tidak berapa setuju jika Muda menyertai PH di persimpangan yang begitu kritikal ini. Kalau lebih awal lagi, mungkin. Seperti dalca yang melingkup tadi, bila dah sampai ke meja baru nak ‘repair’; sudah sangat terlambat.

Bagi saya, dalca yang sedap, adalah yang kacangnya kita rendam semalaman, buang kulit dan separuhnya dikisar halus. Halia dan bawang putih juga dikisar segar. Mesti ada kentang, lobak merah, terung dan tomato. Cabai muda pun wajib.

Bila dah siap masak, kita panaskan minyak sapi dalam semangkuk kecil, letak cili kering, biji sawi, kemudian tuang ke atas dalca sebelum dihidang.

PH bagi saya adalah seperti kuah dalca itu. Manakala Muda adalah minyak sapi yang dimaksudkan. Tak ada pun tak mengapa. Tapi kalau ada, menariklah sikit.

Pun begitu, apabila mangkuk hidang sudah sampai ke meja, tetamu sudah cedok ke pinggan; memang sudah terlambat nak tuang-tuang minyak sapi. Ketika itu, tetamu sudah bising. “Awat dalca ceroi, awat takdak ubi kentang, ni awat kacang kasaq?” Contohnya.

Ada apa dengan Muda

Parti Muda hadir di saat segerombolan kawan-kawan yang tersingkir dari parti Bersatu tidak punya selera untuk menyertai parti baharu Dr Mahathir Mohamad, Pejuang.

Ketika itu kita pakat tepuk dahi apabila Dr Mahathir memutuskan untuk terus membawa agenda Melayu, padahal ramai mengharapkan wadah baharu beliau itu akan mengangkat semangat Bangsa Malaysia.

Jadi Muda hadir sebagai sebuah platform untuk Syed Saddiq dan kawan-kawan beliau untuk mengolah persetujuan warga milenial ke bawah yang semak perut dengan permainan politik orang tua.

Tapi, iyalah. Seni dan tatakerja politik ni bukan baru berkembang setahun dua, dan ia tidak mengikut acuan para idealis. Bahkan yang idealis selalu sahaja kalah setiap kali politik bermain dengan darah dan materi.

Jadi cerita dia, Muda pun dengan mata terbuntang luas, melangkah masuk ke arena politik orang tua, tanpa kemampuan untuk berkuntau menolak budaya politik lama. Pilihan raya negeri Johor pun berlangsung, dan meski berjaya menang satu kerusi, Muda gagal memenangi hati ramai pemain politik yang lainnya.

Lalu setelah menambah musuh di kiri dan kanan, ia bertindak mengumumkan kesediaan menyertai PH. Bukan sahaja membuat pengumuman demikian, Muda malah mengisytiharkan ia mahu 15 kerusi. 

Ini pastinya mencuit kerandut ramai orang, terutamanya yang sudah sedia meluat dengan pembawakan Muda dan Syed Saddiq yang disifatkan sebagai proksi Dr Mahathir serta golongan kaya raya yang didakwa mendanai parti itu.

Bagi PH, yang akan menjadi masalah ialah bagaimana ia akan mahu menyusun kerusi. Kerusi siapa mahu dikorban untuk disedekah kepada Muda? 

PKR tentu sekali tidak akan memberi muka. Itu belum mengambil kira bahawa parti-parti PH sendiri pun sudah ada calon-calon muda.

Namun sekiranya parti Syed Saddiq itu diterima masuk, ini bermakna Muda akan perlu mematuhi keputusan dan dasar PH, dan tidak boleh main langgar ikut suka. 

Kalau kemudian nanti ia keluar koalisi atas apa sebab pun, yang akan dipandang hina adalah Muda. “Hari tu beriya sangat, dah apahal nak keluar pula?” Contohnya.

Pada persimpangan ini, apa sahaja gabungan (payung atau khemah) yang dapat menyatukan sebanyak mungkin kekuatan untuk melawan Umno, adalah baik pada pandangan saya. 

Politik pilihan raya adalah matematik. Apabila tapak sokongan sendiri sudah tepu, maka tiada pilihan selain menambah bilangan sokongan itu daripada tapak orang lain. 

Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan pakatan dan kerjasama, atau terus berhujah memujuk persetujuan pengundi yang tidak suka kepada kita. 

Hanya yang pendek akal dan jahat perangai sahaja yang akan berusaha untuk memecahkan kesepakatan, menjadi batu api cetusnya perbalahan sehingga tapak sokongan sendiri pun habis melingkup. Kononnya dia boleh ‘go solo’. Kalau pergi sekolah setakat sampai pintu pagar, beginilah jadinya.

Tetapi bagi saya, sudah kenapa baru sekarang baru Muda mahu menyertai PH? Apakah ‘trigger’ yang membuatkan mereka tiba-tiba mahu menyertai koalisi yang selama ini menjadi bahan kutukan dan serangan bertali arus? Bukankah PH itu manifestasi politik tua? 

Entahlah. Boleh dibawa bincang dalam forum-forum cerdik pandai politik Malaysia.

Melingkup

Pun begitu, hakikatnya seperti dalca tadi; adalah sangat terlewat untuk kepimpinan utama parti-parti yang menentang kerajaan mengubah pandangan pengundi; sebegini hampir dengan pembubaran Parlimen. 

Pengundi sebenarnya sudah pun membuat pilihan masing-masing. Sama ada bersama atau tanpa Muda, PH sedang menempuhi jalan sukar. Amat sukar sekali.

Apa yang sering kita lupa ialah pada pertengahan 2015, PAS telah bertindak meninggalkan perjuangan yang ia gagahi sejak 1998. Sebab-sebabnya banyak, dan kita tidak perlu mengungkitnya lagi. 

Gerombolan ‘Jebon’ pimpinan Mohamad Sabu bertindak menubuhkan Gerakan Harapan Baru yang kemudiannya menjadi parti Amanah, dan kemudian nama itu lanjut digunakan untuk membentuk PH.

Takdir menentukan, vakum yang ditinggalkan PAS telah diisi oleh gerombolan penyokong Dr Mahathir.
 
Bukan sahaja sokongan itu mengisi kekosongan yang ditinggalkan, ia malah berjaya memecahkan kubu-kubu Umno yang tidak pernah ditembusi usaha-usaha kempen pembangkang. Sokongan buat pembangkang ketika itu sudah tepu; sehinggalah ketumbukan Dr Mahathir dan rakan-rakan menggempur kubu-kubu tersebut, hatta Johor pun ikut tumbang.

Semua orang bertepuk tangan meraikan kemenangan yang mengusung Dr Mahathir serta pimpinan PH ke pejabat-pejabat kementerian di Putrajaya. Menang akhirnya. 

Nah, sekarang angka sokongan itu sudah jauh berubah, seperti yang dapat disaksikan dalam kekalahan demi kekalahan; terbaru tentunya di Johor. 

Ya, kubu Umno yang berjaya ditawan empat tahun lalu. Apakah usaha untuk mendapatkan semula angka-angka yang hilang ini? Entahlah. 

Tapak sokongan yang sedia ada pun belum tentu dikekalkan. Usaha kerjasama pun malah ditepis dan dihalang.

Justeru begitulah nanti barangkali akhirnya. Dalca yang pekat akhirnya dikeluarkan kentang, terung dan tomato. Berbaki hanya sebelanga kuah ceroi yang tidak menyelerakan. Tapis kacangnya, bagi merpati makan. Itu pun belum tentu merpati itu mahu. – 29 September, 2022.     

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen