4 warga Palestin maut dalam serangan Israel di Jenin 


Tenetra Israel mula melancarkan operasi selepas kejadian serangan di Tel Aviv pada April lalu.– Gambar EPA, 29 September, 2022.

EMPAT rakyat Palestin maut dalam serangan terbaharu Israel di kawasan Tebing Barat pada Rabu, kata kementerian kesihatan Palestin.

Keganasan itu adalah yang terbaru di Jenin, terletak di utara Tebing Barat yang diduduki Israel, kawasan yang menyaksikan pertempuran hampir setiap hari antara tentera Israel dan pejuang Palestin sejak pergolakan yang bermula pada Mac.

Timbalan gabenor Jenin, Kamal Abu al-Rub memberitahu AFP bahawa serbuan pada hari Rabu adalah “yang paling ganas yang dilakukan tentera penceroboh sejak awal tahun”.

Kementerian kesihatan Palestin merekodkan empat kematian dan 44 cedera akibat tembakan langsung dalam operasi terbaru Israel.

Antaranya ialah Abed Hazem, yang mana abangnya Raad dinamakan sebagai pembunuh tiga warga Israel dalam kejadian tembak menembak di Tel Aviv pada April.

Raad Hazem ditembak mati selepas pemburuan besar-besaran Israel. Tentera Israel memburu Abed, Raad dan bapanya Fathi sejak beberapa bulan lalu.

Tentera Israel mengesahkan dua kematian semasa operasi yang dikatakan menyasarkan “dua suspek terlibat dalam beberapa serangan tembakan baru-baru ini”.

“Ketika mengepung kediaman kedua-dua suspek, bahan letupan meletup dan suspek melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.

“Pasukan keselamatan bertindak balas mengikut prosedur operasi standard dan kedua-dua suspek terbunuh,” tambahnya, mengesahkan Hazem sebagai salah seorang yang maut. – AFP, 29 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen