Komando Israel terbunuh ditembak tentera sendiri di Tebing Barat


Kedua-dua komando itu sedang membuat rondaan di sekitar pangkalan mereka di Lembah Jordan apabila tentera Israel menyangka mereka sebagai pengganas sebelum menembak mereka. – Gambar AFP, 13 Januari, 2022.

DUA pegawai komando Israel terbunuh dalam kejadian tembakan di Tebing Barat, kata tentera pada Khamis.

Kedua-dua komando itu sedang membuat rondaan di sekitar pangkalan mereka di Lembah Jordan apabila tentera Israel menyangka mereka sebagai pengganas sebelum menembak mereka, kata tentera di Twitter.

“Kedukaan yang teramat sangat pagi ini dengan pengumuman kematian dua pegawai Unit Egoz,” kata Menteri Pertahanan Benny Gantz, menambah siasatan mendalam sedang dijalankan.

Egoz merupakan unit komando elit tentera Israel yang khusus dalam memerangi pemberontakan.

Perdana Menteri Naftali Bennett menyampaikan ucapan takziah “atas nama seluruh rakyat Israel” dan berjanji akan belajar dari kesilapan ini.

Menurut penyiasat, pegawai itu meninggalkan kuarters mereka dan menuju ke kawasan latihan sekitar pukul 11.00 malam, mungkin untuk keluar membuat rondaan.

Tidak lama selepas itu, mereka mengenal pasti apa yang mereka anggap sebagai suspek dan melepaskan tembakan amaran ke udara.

Seorang askar dari unit yang sama, yang sedang melakukan rondaan berdekatan, melepaskan tembakan ke arah pegawai, tidak menyedari mereka adalah tentera dan percaya yang dia diserang, dan membunuh dua daripada mereka.

Minggu lalu, dua juruterbang tentera udara Israel terbunuh apabila helikopter mereka terhempas ke Mediterranean di luar bandar pelabuhan Haifa berikutan masalah teknikal. – AFP, 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen