Tentera Israel tembak mati rakyat Palestin di Tebing Barat


Tentera Israel bertindak ganas terhadap warga Palestin di sepanjang sempadan apabila bertindak melepaskan tembakan ke arah mereka yang tidak bersenjata. – Gambar EPA, 2 April, 2022

TENTERA Israel menembak mati seorang warga Palestin pada Jumaat semasa pertempuran di bandar Hebron, Tebing Barat, yang terbaru dalam lonjakan keganasan, kata kementerian kesihatan Palestin.

Warga Palestin berusia 29 tahun itu ditembak dan dibunuh “dengan peluru hidup”, kata kementerian itu dalam satu kenyataan ringkas.

Agensi berita Palestin Wafa menamakan lelaki yang dibunuh sebagai Ahmad al-Atrash, bekas tahanan yang menghabiskan enam tahun di penjara Israel.

Bagaimanapun tentera Israel enggan mengulas apabila ditanya oleh AFP mengenai kejadian itu.

Pertempuran meletus di Hebron antara penduduk Palestin dan tentera Israel, kata seorang wartawan AFP.

Ia berlaku ketika ketegangan yang memuncak menjelang permulaan bulan suci Ramadan.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata ia turut merawat 70 orang yang cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel pada Jumaat di kawasan Nablus di utara Tebing Barat.

Pada Khamis, pasukan keselamatan Israel menyerbu bandar Jenin Tebing Barat selepas tiga serangan maut menggegarkan negara haram Yahudi itu.

Dua rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran, kata kementerian kesihatan.

Satu lagi kejadian di Tebing Barat, seorang lelaki Palestin yang menikam dan mencederakan orang awam Israel dengan pemutar skru di dalam bas ditembak mati di selatan bandar Bethlehem, Tebing Barat.

Peningkatan keganasan berikutan serangan pada malam Selasa di Bnei Brak, sebuah bandar Yahudi Ortodoks berhampiran Tel Aviv.

Seorang warga Palestin dengan senapang M-16 membunuh dua orang awam Israel, dua warga Ukraine dan seorang anggota polis Israel-Arab. – AFP, 2 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen