Dua rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran Tebing Barat


DUA rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel di Tebing Barat pada awal Khamis, kata kementerian kesihatan Palestin.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, Samer Khaled, 25, dari kem Al-Ain di Nablus, maut selepas mengalami kecederaan akibat tembakan di leher, dan Yazan Afana, 26, dari kem Qalandia di luar Baitulmaqdis, meninggal dunia selepas ditembak di bahagian jantung.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa berkata, Khaled terbunuh apabila tentera Israel menyerbu kem pelarian Balata berhampiran Nablus, di utara Tebing Barat.

Manakala Afana terbunuh semasa operasi di Al-Bireh, dekat Ramallah, kata kementerian kesihatan.

Seorang pegawai Palestin berkata kematian Afana dikaitkan dengan tembakan daripada pejuang Palestin, bukannya tentera Israel.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menahan enam lelaki dikehendaki dalam operasi di seluruh Tebing Barat.

“Semasa operasi (di Balata), pasukan bertindak balas dengan melepaskan tembakan selepas tembakan dilepaskan ke arah mereka,” kata kenyataan tentera.

“Terdapat dakwaan seorang warga Palestin yang mati,” tambahnya.

Tentera berkata semasa operasi di Al-Bireh, pihaknya diserang dengan batu dan bom molotov dan bertindak balas menggunakan “cara penyuraian rusuhan”.

Ia menambah bahawa dalam kes ini juga ia telah dimaklumkan tentang kematian seorang warga Palestin.

Israel telah menceroboh dan menduduki Tebing Barat sejak 1967, apabila ia menawan wilayah itu daripada Jordan. – AFP, 1 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen