Anwar, Azizah tiada masalah Maria Chin bertanding PRU14 atas tiket PKR


Amin Iskandar

Menurut sumber, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail juga positif dengan idea Maria membawa suara pertubuhan masyarakat sivil ke Parlimen.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2018.

KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim tidak mempunyai masalah sekiranya Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah mahu bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket partinya, kata satu sumber.

Sumber itu memberitahu, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail juga positif dengan idea Maria membawa suara pertubuhan masyarakat sivil ke Parlimen.

“Anwar dan Dr Wan Azizah positif dengan idea Maria bertanding di kerusi selamat atas tiket PKR.

“Perkara ini sudah hampir pasti. Majoriti dalam PKR sudah bersetuju dengan cadangan ini,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight, dengan syarat tidak dinamakan.

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan, Maria dijangka meletak jawatan dalam tempoh dua minggu lagi untuk bertanding pada PRU14.
Beliau merancang untuk bertanding di “kerusi selamat” menggunakan tiket PKR, sumber badan pemerhati pilihan raya itu memberitahu The Malaysian Insight.

Dalam satu kenyataan semalam, Maria bagaimanapun berkata beliau masih belum memutuskan sama ada mahu bertanding PRU14 atau tidak.

Seorang lagi sumber memberitahu The Malaysian Insight, PKR akan mengadakan pertemuan dengan Maria sebelum pengumuman dibuat tidak lama lagi.

“Kita akan bincang dengan lebih lanjut dengan Maria terlebih dahulu.

“Selepas semua jelas, kita akan umumkan perkara ini pada waktu yang terdekat,” kata sumber itu.

Minggu lepas, akhbar arus perdana New Straits Times melaporkan yang Maria mungkin akan bertanding di kerusi Parlimen Batu atau Petaling Jaya Selatan, Ambiga pula dikatakan akan bertanding di Kapar atau Segamat. 

Ambiga bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight yang beliau “tidak berminat” dengan politik.

Maria adalah muka lama dalam arena aktivisme Malaysia sejak tiga dekad lepas, memberikan tumpuan kepada perjuangan hak wanita.

Pada 1993, beliau mengahwini rakan aktivis, Yunus Ali yang pernah ditahan tanpa bicara di bawah undang-undang menekan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekitar tahun 80-an.

Maria juga pernah ditahan di bawah satu lagi akta menekan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) pada November 2016.

Beliau diletakkan dalam bilik pengasingan selama 10 hari.

Minggu lepas, Ketua Eksekutif Institut Demokarsi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan mengumumkan pengundurannya daripada badan pemikir tu berkuatkuasa 18 Februari.

Pengumuman rasmi penyertaan Wan Saiful ke dalam Bersatu akan diadakan di Ibu Pejabat parti itu di Petaling Jaya esok. – 28 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen