Maria belum putuskan untuk bertanding pada PRU14


Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata beliau akan umumkan mengenai perkembangan perkara itu selepas keputusan dibuat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2018. 

MARIA Chin Abdullah berkata, beliau masih membincangkan kemungkinan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, sebagai menjawab spekulasi beliau kemungkinan bertanding di bawah Pakatan Harapan.

Pengerusi Bersih 2.0 itu dalam satu kenyataan berkata, beliau telah diminta untuk bertanding, bagi mewakili suara masyarakat sivil di Parlimen.

“Ini perkara serius yang masih dalam perbincangan tetapi salah satu sasaran utama yang jelas adalah untuk membawa agenda masyarakat sivil untuk keadilan, kebebasan, tadbir urus yang baik, pilihan raya bebas dan adil dan hak asasi manusia terus ke Parlimen.

“Dan sokongan untuk perjuangan berterusan dalam kerjasama dengan masyarakat sivil untuk bekerja di lapangan. Sebaik sahaja keputusan dibuat, saya akan umumkan kepada semua,” katanya hari ini.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan Maria dijangka akan meletakkan jawatan dalam tempoh dua minggu lagi untuk bertanding.

Beliau bercadang untuk bertanding di “kerusi selamat” atas tiket PKR, kata sumber pemerhati pilihan raya kepada The Malaysian Insight.

Maria mengambil alih jawatan itu daripada peguam dan aktivis hak asasi manusia Ambiga Sreenevasan pada 2013.

Minggu lalu, New Straits Time melaporkan Maria boleh bertanding di kerusi Parlimen Batu atau Petaling Jaya Selatan, manakala Ambiga boleh bertanding di Kapar atau Segamat.

Ambiga bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight beliau “tidak berminat” dalam politik.

Selama lebih tiga dekad, Maria kekal dalam arena aktivisme yang memfokuskan kepada pergerakan wanita.

Pada 1993, Beliau berkahwin dengan aktivis Yunus Ali, yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1980. Maria ditahan di bawah undang-undang yang sama, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) atau Sosma pada November 2016. Beliau ditahan di ruang pengasingan bersendirian selama 10 hari.

Wan Saiful Wan Jan, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) merupakan seorang lagi calon dari luar arena politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14.

Beliau yang juga ahli PAS itu dijangka akan menyertai Bersatu minggu ini.

Beliau mengumumkan melepaskan jawatan daripada badan pemikir itu berkuatkuasa 18 Februari lalu. Beliau turut dilihat melawat ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya minggu lalu, namun menolak untuk mengesahkan tetapi tidak menafikan perkara itu. – 27 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen