Kita perlu pemimpin tangkas berfikir, bukan petah bercakap


Jahabar Sadiq

Malaysia dan rakyatnya kini perlukan pemimpin pandai berfikir dan buat kerja, bukan hanya pandai bercakap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

MALAYSIA perlukan pemimpin politik yang boleh menyelesaikan masalah, bukan pemimpin yang hanya pandai merendah-rendahkan lawan.

Kita nampak seperti tidak dipimpin sejak Langkah Sheraton pada 2020 yang menggulingkan pentadbiran popular.

Sejak itu, dua pentadbiran bersilih ganti dengan anggota yang saling berseteru dan hanya memenuhi kepentingan politik sendiri, bukannya keperluan dan keinginan rakyat.

Cuba kita perhatikan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini memberi amaran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Umno akan dihukum sekiranya pilihan raya umum diadakan pada tahun ini.

Beliau menyarankan kepada PM agar mengambil kira kebajikan rakyat, musim tengkujuh dan banjir yang akan berlaku serta mengelak pilihan raya jika tidak mahu dihukum pengundi.

Adakah DAP untung jika Ismail mengikut saranannya? Mengapa biar Ismail dan Umno berkuasa dengan meminta mereka tangguhkan pilihan raya yang patut diadakan menjelang Julai 2023?

Begitu juga dengan pendirian bekas perdana menteri dari pentadbiran Perikatan Nasional yang juga presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Beliau kata Bersatu sebahagian dari pentadbiran Ismail dan perlu dirunding untuk mentapkan pembubaran Parlimen dan juga tarikh pilihan raya.

Kemudian beliau kata kerajaan perlu berundur kerana tidak mampu menguruskan ekonomi. Yang mana satu?

Kerajaan pimpinan beliau dan juga pentadbiran Ismail berkongsi menteri kewangan dan dasar sama – memandangkan Muhyiddin mengetuai majlis pemulihan pasca Covid-19.

Mungkin inilah masa veteran politik dari era 80’an ini untuk melepaskan tangan dari terus berpaut pada politik dan pentadbiran awam. Tiada apa yang ditawarkan selain retorik.

Tapi pemimpin muda seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga perlu berusaha untuk membezakan perkhidmatan awam dan pentadbiran awam.

Beliau menyarankan supaya pilihan raya tidak diadakan kerana musim tengkujuh bakal menjelang kerana ahli politik perlu utamakan rakyat berbanding politik.

Saranan ini menunjukkan beliau kurang yakin ke atas perkhidmatan awam dan pihak berkuasa untuk menangani apa-apa banjir besar.

Ahli politik membuat polisi dan undang-undang yang secara teorinya patut mengekang kesan bencana alam paling buruk.

Jika tidak, ia bermakna ahli politik di tampuk kuasa tidak menjalankan tanggungjawab. Pada waktu ini, gabungan yang ingin disertai partinya patut mampu menangani bencana alam paling buruk di Selangor – negeri dikuasai Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan sejak 2008.

Lagi pula, kerajaan negeri menguasai tanah dan air – yang bermakna setiap pembangunan yang menjejaskan kedua-duanya berada bawah pihak berkuasa negeri.

Pada masa ini, Malaysia tidak memerlukan kerajaan lebih baik. Ia hanya perlukan kerajaan yang berfungsi. Tiada satupun nampaknya berfungsi dengan baik sejak 2018.

Seperkara lagi, Malaysia perlukan ahli politik yang berfikiran tangkas, bukannya yang petah bercakap.

* Jahabar Sadiq pengendali The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen