Kerajaan pergiat usaha selamatkan mangsa penipuan kerja di luar negara, kata kementerian


Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan itu dibawa pulang dengan selamat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2022.

KERAJAAN akan terus mempergiat usaha menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air.

Kementerian Luar dalam kenyataan malam ini memaklumkan jumlah keseluruhan laporan kes sindiket penipuan yang diterima sehingga hari ini ialah 301 melibatkan negara Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

“Daripada jumlah tersebut seramai 168 orang berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air. Selain itu 34 orang sedang ditahan di depoh tahanan imigresen manakala baki 99 lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” menurut kenyataan itu. 

Terdahulu kerajaan mengumumkan bahawa Jawatankuasa Khas pelbagai agensi diketuai Kementerian Luar akan diwujud bagi memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di beberapa negara dibawa pulang dengan selamat.

Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan itu dibawa pulang dengan selamat dan usaha sedang dilaksanakan melalui saluran yang ada bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand kerana menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan itu. – Bernama, 21 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen