Ahmad Idham, Eizlan Yusof dakwa kontrak tamat tanpa sebab


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ahmad Idham (kiri) bersama Duta Besar Tajikistan ke Malaysia, Ardasher Saeedjaafar Qodiri ketika membincangkan potensi kerjasama di bawah inisiatif diplomasi kebudayaan baru-baru ini. – Gambar Facebook, 4 Mac, 2022.

DUA pelakon yang digugurkan dari jawatan di Kementerian Luar, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Eizlan Yusof menolak dakwaan mereka diberhentikan kerana penglibatan dalam politik.

Mereka mendakwa surat penamatan kontrak yang diterima pada Isnin tidak menyatakan sebab sebenar tindakan itu dikenakan ke atas mereka.

Dalam satu sidang media petang ini, Ahmad Idham juga menafikan beliau bercita-cita untuk menyertai politik dan menolak perkara itu berkait dengan tindakan ke atasnya.

“Saya tahu ada tohmahan yang mengatakan kami berdua nak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang di bawah tiket Bersatu.

“Bagi saya, itu sangat tidak kena dengan isu asas yang berlaku,” kata bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam sidang media dalam talian.

Tegasnya, penamatan kontrak itu dibuat tanpa alasan.

“Kami ditamatkan kontrak tanpa sebarang sebab. Sehingga sekarang kami sendiri buntu dengan alasan penamatan kontrak.

“Tiada petanda atau penjelasan meskipun perbincangan diadakan bersama kami sebelum keputusan ini dibuat,” kata mereka dalam kenyataan bersama yang dibaca dalam satu sidang media petang ini.

Ahmad Idham dilantik menjadi setiausaha kebudayaan pada November lalu untuk mengetuai diplomasi budaya Malaysia dan Eizlan sebagai perunding kreatif di jawatankuasa seni dan budaya.

Jawatankuasa tersebut diumumkan dengan nama singkatan Arca untuk mengendalikan hal ehwal berkaitan diplomasi budaya.

Ahmad Idham sebelum itu meletak jawatan sebagai ketua pengarah eksekutif Finas.

Beliau dan Eizlan seterusnya meraih kontroversi selepas didapati hadir dalam kempen pilihan raya negeri Melaka dengan memakai lambang parti bersama Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Saifuddin ketika menjawab perkara itu di Dewan Rakyat berkata, kedua-duanya bebas untuk menyertai aktiviti politik kerana mereka petugas yang dilantik dan bukannya pegawai tadbir diplomatik. – 4 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen