Dua diplomat dipanggil balik kerana gagal selaras lawatan PM, kata Wisma Putra


Aminah Farid

Kementerian Luar Negeri hari ini menjelaskan punca dua diplomat dipanggil balik adalah kerana mereka gagal selaraskan urusan pentabiran dan logistik ketika lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai bulan lepas. – Gambar Facebook, 11 April, 2022.

KEGAGALAN menyelaraskan urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu antara sebab dua diplomat kanan dipanggil balik, kata Kementerian Luar Negeri hari ini.

Kementerian berkata tindakan diambil kerana dua pegawai itu gagal menyusun kedatangan perdana menteri, yang sepatutnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negeri pada 29 Mac.

Wisma Putra bagaimanapun tidak menamakan kedua-dua pegawai tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

“Kegagalan ini termasuk perdana menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai. 

“Selain itu, liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk perdana menteri seperti amalan SOP biasa juga tidak ada,” kata kementerian itu membandingkan lawatan perdana menteri sebelum ini ke Perhimpunan Agung PBB di New York, di mana diplomatnya mengikuti protokol.

Kementerian itu berkata kedua-dua diplomat itu juga gagal memaklumkan kepada kementerian mengenai Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (WGS) yang diadakan di Expo 2020 Dubai.

“Pimpinan tertinggi kementerian hanya mengetahui tentang WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain. Sekiranya pimpinan tertinggi kementerian telah dimaklumkan awal tentang penganjuran WGS, pastinya usaha telah dibuat supaya perdana menteri menyampaikan ucapan di program tersebut,” menurut Wisma Putra.

“Masalah ini tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal. Ini kerana kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada perdana menteri sebagai ketua kerajaan sehingga ke akhir lawatan,” katanya.

Semalam, Free Malaysia Today melaporkan Duta Besar Malaysia ke UAE Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral di Dubai Mohd Hasril Abdul Hamid dipanggil pulang ke Putrajaya kerana isu pengendalian sambutan lawatan Ismail Sabri ke negara itu bulan lepas.

FMT melaporkan Mohd Tarid dan Mohd Hasril adalah pegawai diplomatik kanan yang hadir di lapangan terbang untuk menyambut perdana menteri ketika beliau tiba di Dubai, tanpa kehadiran pegawai kanan tinggi UAE.

Ini adalah bertentangan dengan protokol untuk pegawai kanan negara tuan rumah untuk hadir menyambut ketibaan tetamu kehormat asing yang melawat.

Kementerian Luar memanggil semula Tarid dan Hasril dan menugaskan mereka ke sekumpulan penjawat awam di Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya. – 11 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen