Penjelasan Wisma Putra mengenai lawatan PM ke Dubai


KEMENTERIAN Luar Negeri (KLN) merujuk tulisan Free Malaysia Today (FMT) pada 10 April 2022 tentang lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 29-31 Mac 2022. KLN kesal kerana tulisan tersebut bukan sahaja mengandungi maklumat yang tidak tepat, malahan lebih bersifat spekulasi dan tohmahan yang tidak berasas.

Berdasarkan kandungan tulisan tersebut, jelas sekali sumber-sumber yang dirujuk atau dipetik bukannya datang daripada pegawai atau pihak yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan urusan lawatan tersebut.

KLN ingin menjelaskan bahawa perdana menteri telah mengadakan lawatan ke UAE pada 29-31 Mac 2022 sempena Ekspo 2020 Dubai. Lawatan tersebut telah berjaya mencapai objektif-objektif yang disasarkan.

Semasa lawatan ini, perdana menteri telah menghadiri Majlis Penutup Pavilion Malaysia dan Majlis Apresiasi bagi Pegawai dan Staf Pavilion Malaysia di Ekspo berkenaan. Perdana menteri juga menghadiri Majlis Pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman antara syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat-syarikat antarabangsa sempena Ekspo 2020 Dubai.

Seperti lawatan-lawatan sebelum ini, perdana menteri turut mengadakan perjumpaan dengan Keluarga Malaysia di Dubai. Di samping itu, sebagai tambahan kepada tujuan asal lawatannya, dan melalui inisiatif pimpinan tertinggi KLN yang mengiringi lawatan perdana menteri, maka, perdana menteri turut menghadiri Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (World Government Summit – WGS) pada 30 Mac.

Semasa majlis ini, perdana menteri telah mengadakan perjumpaan dengan naib presiden dan perdana menteri UAE yang juga pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

KLN seterusnya ingin menjelaskan bahawa Duta Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai telah dipanggil pulang ke KLN. Tindakan sedemikian diambil kerana kedua-dua Ketua Perwakilan tersebut telah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan perdana menteri sepertimana yang sepatutnya berdasarkan Prosedur Operasi Tetap (SOP) bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negeri, terutamanya semasa ketibaan perdana menteri di Dubai pada 29 Mac.

Kegagalan ini termasuk perdana menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai. Selain itu, liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk perdana menteri seperti amalan SOP biasa juga tidak ada.

Lazimnya, dalam apa keadaan sekalipun, seperti ketika perdana menteri menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu, namun Ketua Perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk perdana menteri.

Kedua-dua pegawai tersebut juga gagal memaklumkan kepada KLN di Putrajaya tentang penganjuran WGS yang diadakan di dalam Kawasan Ekspo Dubai. Pimpinan tertinggi KLN hanya mengetahui tentang WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain. Sekiranya pimpinan tertinggi KLN telah dimaklumkan awal tentang penganjuran WGS, pastinya usaha telah dibuat supaya perdana menteri menyampaikan ucapan di program tersebut.

Pada tengah hari 30 Mac, menteri luar negeri telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa UAE, PYT Reem Ebrahim Al Hashimy. Melalui pertemuan tersebut, YAB Perdana Menteri diundang menghadiri Majlis Penutup WGS pada petang 30 Mac, iaitu seperti dinyatakan dalam perenggan 5 di atas.

Masalah ini tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal. Ini kerana Kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada perdana menteri sebagai Ketua Kerajaan sehingga ke akhir lawatan. Justeru, semasa majlis perlepasan pulang perdana menteri dari Dubai, Kerajaan UAE telah mengaturkan static guards of honour di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, dan Kerajaan UAE diwakili oleh Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, TYT Omar bin Sultan Al Olama.

Semasa di lapangan terbang itu, TYT Omar menyampaikan undangan Kerajaan UAE kepada perdana menteri untuk menyampaikan Ucap Utama di WGS tahun 2023, dan perdana menteri telah menyatakan persetujuannya menerima undangan tersebut.

Tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai tersebut bukan sesuatu luar biasa dan dibuat melalui perundingan dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam. – 11 April, 2022.

* Siaran akhbar Kementerian Luar Negeri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen