Individu mengadu pada 'Datin' dalam rakaman audio dikenal pasti, kata Wisma Putra


Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata individu yang menyampaikan rakaman suaranya kepada seorang 'Datin' berkait isu lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu bulan lalu sudah dikenal pasti.– Gambar YouTube, 15 April, 2022.

KEMENTERIAN Luar Negeri sudah mengenal pasti individu yang menyampaikan rakaman suaranya kepada seorang ‘Datin’ berkait isu lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata individu tersebut telah dipanggil untuk membantu siasatan.

“Jawatankuasa Siasatan Dalaman Kementerian Luar Negeri telah mengenal pasti individu yang disyaki membuat rakaman yang mengandungi tuduhan yang tidak berasas berhubung Kementerian Luar Negeri.

“Susulan itu, individu tersebut telah dipanggil untuk membantu siasatan dan beliau telah membuat pengakuan sepenuhnya bahawa rakaman suara tersebut dibuat oleh beliau sendiri,” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan juga menyebut individu yang bergelar ‘Datin’ itu adalah pegawai kepada bekas menteri luar negeri sebelum
pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional. 

Anifah adalah menteri luar dalam pentadbiran Najib Razak antara 2009 hingga 2018.

Menurut kenyataa itu lagi, memandangkan perkara ini turut melibatkan individu di luar kementerian, maka laporan siasatan Jawatankuasa Siasatan Dalaman Kementerian Luar Negeri akan diserahkan kepada polis untuk siasatan dan tindakan sewajarnya.

Kementerian Luar Negeri sebelum ini membuat laporan polis berkenaan rakaman suara yang tular itu pada 12 April.

Pada 11 April lalu tersebar rakaman perbualan antara seorang lelaki dengan seorang ‘Datin’, dipercayai merujuk kepada arahan pulang yang dikeluarkan terhadap dua diplomat kanan Malaysia dari UAE kerana gagal menyelaras lawatan Ismail Sabri. – 15 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen