Pengguna baharu Muslim kuat pegangan agama, kata kajian


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kumpulan penguna baharu Muslim ini juga turut menimbangkan aspek halal haram dalam teknologi baharu termasuk metaverse.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2022.

PEGANGAN agama yang kuat adalah antara perkara penting bagi majoriti generasi muda Muslim di Asia Tenggara, selain kesihatan dan hubungan kekeluargaan, kata laporan Pengguna Baharu Muslim yang dikeluarkan oleh agensi penyelidik dan pemasaran hari ini.

Laporan oleh Wunderman Thompson Intelligence dan VMLY&R Malaysia itu melibatkan kaji selidik ke atas 1,000 pengguna beragama Islam berumur lebih 18 tahun di Malaysia dan Indonesia.

“Hubungan yang utuh dengan Tuhan adalah perkara paling penting dalam kehidupan bagi 91 peratus pengguna Muslim Asia Tenggara, setanding dengan kesihatan dan mendahului keluarga,” kata pengarah Wunderman Thompson Intelligence bagi rantau Asia Pasifik, Chen May Yee kepada wartawan pada sesi taklimat secara dalam talian hari ini.

Kajian itu juga mendapati satu daripada tiga pengguna Muslim di Asia Tenggara menganggap diri mereka lebih memberi penekanan kepada agama berbanding ibu bapa mereka ketika seusia mereka.

“Mereka juga percaya yang mereka memberi penekanan sama ketika membuat keputusan untuk berbelanja baik untuk peribadi, fesyen, perbankan, perjalanan mahupun pendidikan,” tambahnya.

Menurut Chen, kaji selidik itu juga mendapati hanya 21 peratus daripada 250 juta umat Islam di rantau ini mengatakan mereka kurang taat pada agama berbanding ibu bapa mereka.

Katanya, 45 peratus lagi menganggap diri mereka sama taat pada agama Islam.

“Hanya 34 peratus menganggap kekayaan sangat penting, dengan 28 peratus menilai minat mereka dan 12 peratus menyebut kemasyhuran sebagai keutamaan berbanding agama Islam itu sendiri.

“Kepercayaan agama yang semakin meningkat dan penyebaran kepenggunaan gaya Barat telah mengakibatkan kepenggunaan yang dipengaruhi Islam berkembang lebih pesat.

“Pengguna Islam semakin menitik beratkan kepercayaan agama mereka dalam keputusan pembelian daripada aspek halal dan hiba dan tindakan ini sentiasa berkembang,” katanya.

Menurut Chen, kumpulan penguna baharu Muslim ini juga turut menimbangkan aspek halal haram dalam teknologi baharu termasuk metaverse.

“Bagi pengguna Islam, sama ada sesuatu produk itu halal, atau dibenarkan, adalah faktor paling penting ketika membuat pembelian, berbanding nilai wang, kualiti dan pertimbangan alam sekitar.

“Lebih 60 peratus umat Islam turut melihat sama ada produk perbankan atau pelaburan itu mengikut hukum Islam.

“Ini juga terpamer dalam keputusan 77 peratus masyarakat Islam yang memberi keutamaan kepada  makanan halal ketika memilih destinasi untuk melancong,” kata Chen.

Sementara itu, penyelidik di Wunderman, Safa Arshadullah, pula berkata laporan tersebut menunjukkan ketaatan pada Islam mempengaruhi keghairahan mereka terhadap teknologi yang sedang berkembang seperti metaverse.

“Ini terbukti apabila 85 peratus responden mengatakan mereka ingin melihat ruang maya dibuat khas untuk umat Islam dan 78 peratus menyatakan minat terhadap aksesori agama maya.

“Bagaimanapun, 59 peratus berkata mereka tidak percaya metaverse itu serasi dengan ajaran Islam,” katanya.

Jelas beliau, rantau Asia Tenggara kini bukan hanya pasaran untuk Muslim tetapi juga menjadi medan ujian trend global terkini.

Menurut Safa, apa yang berlaku di rantau ini memberi inspirasi kepada umat Islam di seluruh dunia untuk secara konsisten menjalin kepercayaan dan berfungsi dengan cara yang inovatif.

Mengenai pengiklanan, Safa berkata majoriti responden berfikir teknologi baharu perlu memberi ruang untuk kepelbagaian dan bernuansa mengenai masyarakat Islam selain tidak menunjukkan Islam sebagai minoriti.

Kajian ini melibatkan masing-masing 500 responden dari Malaysia dan Indonesia.

Daripada jumlah itu, 300 orang berusia 18 hingga 39 tahun manakala bakinya berusia 40 tahun ke atas, dengan keseluruhan 55 peratus tinggal di bandar.

Kajian itu dijalankan antara 9 hingga 16 Mei tahun ini. – 21 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen