China jelas menindas etnik Uighur, kata kumpulan hak asasi


Human Rights Watch berkata penganiayaan Beijing terhadap Uighur yang berlarutan lebih dua dekad kian berleluasa sejak 2013 di bawah pemerintahan Presiden  Xi Jinping.– Gambar EPA, 20 April, 2021.

CHINA bersalah melakukan jenayah kemanusiaan dengan terus menindas etnik Uighur dan minoriti Muslim lain, kata laporan Human Rights Watch (HRW) yang diterbitkan semalam.

Laporan bersama Stanford Law School’s Human Rights & Conflict Resolution Clinic itu menyatakan Beijing memenjarakan lebih sejuta etnik Uighur di wilayah Xinjiang manakala berjuta lagi diletakkan di bawah pengawasan dan kawalan.

“Kerajaan China berterusan melakukan jenayah kemanusiaan terhadap populasi Muslim Turkic.

“Matlamat kerajaan China mewujudkan kem sangat jelas untuk menghapuskan budaya dan agama Muslim Turkic,” menurut laporan itu, merujuk kepada Uighurs, Kazakh, Kyrgyz dan etnik lain di  Xinjiang.

Dasar China melanggar Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa 1998, yang menyatakan bahawa sebarang serangan berterusan dan terancang ke atas masyarakat awam adalah satu jenayah, tambahnya.

Laporan turut menyebut tindakan kerajaan China memenjara, menyiksa dan membunuh etnik Uighur menyalahi undang-undang, termasuk kerja paksa dan keganasan seksual.

HRW berkata penganiayaan Beijing terhadap Uighur yang berlarutan lebih dua dekad kian berleluasa sejak 2013 di bawah pemerintahan Presiden  Xi Jinping. – AFP, 20  April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen