Ismail Sabri perlu bersuara tentang kenyataan perkauman Hadi, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob digesa bersuara berhubung kenyataan berbaur perkauman Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2022.

ISMAIL Sabri Yaakob sepatutnya bersuara dan menegur Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan perkaumannya yang bertentangan dengan semangat Keluarga Malaysia yang dipropagandakan perdana menteri, kata penganalisis politik.

Walaupun PAS telah menjauhkan diri daripada Umno, ia masih dalam kerajaan Ismail Sabri melalui Perikatan Nasional.

Tiada tindakan oleh Ismail Sabri terhadap kenyataan berbaur perkauman Abdul Hadi boleh ditafsirkan sebagai tanda kepimpinan yang lemah, kata mereka.

Pengarah eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar, berkata kenyataan Abdul Hadi bertentangan dengan semangat Keluarga Malaysia, jadi perdana menteri mesti bersuara.

“Memandangkan PAS berada dalam kerajaan, Ismail Sabri berhak bersuara menentang perkara yang tidak selari dengan pentadbirannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kenyataan Abdul Hadi akan memberi kesan kepada pengundi bukan Islam yang akhirnya akan merugikan PN sendiri.

“Sebenarnya, pengundi bukan Islam masih tidak mempercayai PN, dan dengan kenyataan berbaur perkauman daripada Abdul Hadi, PN tidak akan dapat menarik undi mereka.”

Walaupun Umno mungkin tidak terjejas langsung dengan kenyataan Abdul Hadi, Hisommudin berkata kredibiliti Ismail Sabri akan dipersoalkan jika beliau berdiam diri.

Minggu lalu, Abdul Hadi menggelar Pakatan Harapan sebagai gabungan “pemberi dan penerima rasuah” dan menolak kerjasama dengan mereka. Beliau juga menuduh PH sebagai anti-Islam.

Ini bukan kali pertama ahli Parlimen Marang membuat kenyataan sedemikian.

Baru-baru ini, polis merakam kenyataan beliau berikutan kenyataannya mengenai bukan Islam dan bukan Bumiputera kebanyakannya bertanggungjawab terhadap rasuah di Malaysia.

Abdul Hadi kini disiasat di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mungkin menghasut mana-mana golongan atau komuniti untuk melakukan apa-apa kesalahan terhadap mana-mana kelas atau komuniti orang lain, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang tidak betul.

Penganalisis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar juga bersetuju dengan Hisommudin yang Abdul Hadi perlu dikenakan tindakan.

“Sebagai perdana menteri, Ismail harus menegur Abdul Hadi kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, tidak kira Abdul Hadi dari parti mana,” kata Tunku Mohar.

“Kenyataan itu tidak sihat, terutama datang dari seorang yang kononnya beragama.”

Ismail Sabri tidak akan berbuat apa-apa

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania, bagaimanapun, berpendapat bahawa Ismail Sabri tidak akan berbuat apa-apa.

“Ismail Sabri sepatutnya mengatakan sesuatu tentang retorik perkauman tetapi beliau tidak akan berbuat demikian,” kata Chin.

“Sebabnya mereka semua bermain permainan dan meletakkan diri mereka untuk pilihan raya umum ke-15.

“Abdul Hadi berkata semua ini untuk menunjukkan beliau seorang yang Islamik dan kelayakan Ketuanan Melayunya.

“Saya menjangkakan Abdul Hadi akan menggandakan kenyataan perkaumannya.”

Chin juga berkata rakyat Malaysia tidak sepatutnya terpengaruh dengan slogan Keluarga Malaysia.

“Rakyat Malaysia tidak seharusnya mengambil serius slogan ini.

“Selagi kita mempunyai perpecahan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera di peringkat rasmi di negara ini, tidak mungkin Malaysia bersatu,” katanya.– 20 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen